MANCHESTER, 20 JAN – Ruben Amorim membuat pengakuan mengejutkan bahawa Manchester United pimpinannya adalah pasukan terburuk dalam sejarah kelab selepas kekalahan suram 3-1 menentang Brighton kelmarin.
United tewas kali keenam dalam 11 perlawanan Liga Perdana sejak Amorim tiba dari Sporting Lisbon untuk menggantikan Erik ten Hag yang dipecat.
“Kami mungkin pasukan yang paling teruk dalam sejarah Manchester United,” kata Amorim selepas persembahan buruk di Old Trafford.
“Saya tahu awda mahukan tajuk utama tetapi saya berkata demikian kerana kita perlu mengakuinya dan mengubahnya. (Jadi) Ini dia: tajuk utama awda.”
Skuad Amorim kini terperosok di tangga ke-13 dan walaupun berada 10 mata di atas zon penyingkiran, dan dengan persembahan kelmarin menunjukkan mereka masih bergelut.
Yankuba Minteh membuka jaringan awal untuk Brighton sebelum Bruno Fernandes menyamakan kedudukan dengan sepakan penalti sebelum separuh masa.
Tetapi gol separuh masa kedua daripada Kaoru Mitoma dan Georginio Rutter menyebabkan United bergolak.
“Cuba bayangkan apa makna (persembahan) begini untuk peminat Manchester United dan untuk saya. Kami mendapat jurulatih baharu yang lagi banyak membawa kekalahan daripada jurulatih yang lalu dan saya sedia maklum mengenainya,” kata Amorim.
Jurulatih berusia 39 tahun itu tiba di United pada November lalu dengan dipuji sebagai salah seorang jurulatih muda paling cemerlang di Eropah.
Tetapi formasi 3-4-3 pilihannya jelas tidak sesuai untuk United tetapi jurulatih dari Portugal itu enggan mengubah falsafahnya.
“Saya tidak akan berubah, walau apa pun. Saya tahu kita boleh berjaya tetapi kita perlu bertahan saat ini. Saya tidak naif. Kita perlu bertahan sekarang,” kata Amorim.