KATHMANDU, 27 MEI – Pemandu Sherpa terkenal, Kami Rita berjaya sampai ke puncak Gunung Everest buat kali ke-31 hari ini, sekali gus memecahkan rekod pendakian terbanyak ke puncak gunung tertinggi di dunia yang dicatatnya sendiri.
Kami Rita, 55, mengetuai sekumpulan pendaki dan berjaya menawan puncak pada awal pagi, menurut Mingma Sherpa dari agensi pendakian Seven Summits Treks yang berpangkalan di Kathmandu. Dia berada dalam keadaan sihat dan sedang menuruni gunung bersama pendaki lain menuju ke kem asas, katanya.
Sebelum memulakan pendakian, Kami Rita memberitahu The Associated Press bahawa dia bercadang untuk mendaki ke puncak buat kali ke-31 atau mungkin juga ke-32. Tahun lalu, dia berjaya menawan puncak sebanyak dua kali.
Dia pernah mencuba untuk mendaki beberapa hari lalu, namun terpaksa berpatah balik akibat cuaca buruk.
Ratusan pendaki telah mencuba mendaki Gunung Everest dari bahagian selatan Nepal musim ini, yang dijangka berakhir hujung minggu ini. Kebanyakan pendakian ke Everest dan puncak-puncak Himalaya berdekatan dilakukan pada bulan April dan Mei, apabila keadaan cuaca paling sesuai.
Kami Rita pertama kali mendaki Gunung Everest pada tahun 1994 dan sejak itu hampir setiap tahun dia melakukan pendakian. Dia merupakan antara pemandu Sherpa yang kepakaran dan kemahiran mereka amat penting bagi memastikan keselamatan dan kejayaan para pendaki asing yang bercita-cita untuk berdiri di puncak gunung setinggi 8,849 meter itu setiap tahun.
Bapanya juga merupakan antara pemandu Sherpa yang terawal. Selain Everest, Kami Rita juga pernah mendaki beberapa puncak tertinggi dunia yang lain seperti K2, Cho Oyu, Manaslu dan Lhotse.
Pesaing terdekatnya bagi rekod pendakian terbanyak ke Gunung Everest ialah seorang lagi pemandu Sherpa, Pasang Dawa, yang telah berjaya menawan puncak tersebut sebanyak 29 kali.
Gunung Everest pertama kali didaki pada tahun 1953 oleh warga New Zealand, Edmund Hillary dan Sherpa Nepal, Tenzing Norgay. – AP
