Anggota kumpulan Dolla berdepan detik cemas apabila didekati tiga orang lelaki yang mengaku sebagai anggota polis ketika menunggu kenderaan mereka selepas selesai menjalani latihan tarian pada pukul 11:30 malam, baru-baru ini.
Bercerita mengenai perkara itu, Dolla yang dianggotai oleh Tabby, Angel, Syasya dan Sabronzo berkata, pada awalnya ketiga-tiga lelaki yang menaiki kenderaan jenis Proton Saga berwarna merah itu memperlahankan kereta sebelum berhenti dan memerhatikan mereka.
Cerita Dolla, pandangan diberikan membuatkan kesemua mereka berasa tidak selesa dan ketakutan kerana menyangka lelaki berkenaan mempunyai niat jahat dan ingin merompak.
“Mereka mendakwa sebagai anggota polis tetapi tidak memakai uniform rasmi dan tidak memandu kereta polis,” kata Dolla menerusi kenyataan di Twitter, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dolla memberitahu ketiga-tiga lelaki itu juga enggan menunjukkan kad kuasa sebelum terus menyoal mereka dengan bertanya pelbagai perkara termasuk mencurigai sama ada mereka adalah rakyat Malaysia.
Disebabkan itu, Dolla mendakwa mereka dipaksa untuk memberikan kad pengenalan sebelum mereka mengambil gambar secara senyap tanpa kebenaran mereka. Malah, apabila ditanya mengapa mereka diperiksa, salah seorang lelaki itu menjawab dengan kasar.
“Hak kami telah dicabuli sebab apabila Syasya tanya kenapa mereka diperiksa, salah seorang dengan secara kasar mempersoalkan mengapa tak boleh berbuat demikian kerana mereka adalah polis. Kami keliru dan ketakutan kerana kami tidak melakukan sebarang kesalahan, kami hanya empat orang wanita yang berdiri di tepi jalan selepas selesai menjalani latihan tarian.”
Sementara itu, Dolla memberitahu sebuah kereta yang berhenti berhampiran tempat kejadian telah menyelamatkan mereka daripada sebarang insiden tidak diingini. Kata Dolla, ‘polis’ berkenaan terus pergi daripada situ tanpa sebarang penjelasan mengapa mereka disoal siasat dan tertanya-tanya sama ada situasi dihadapi itu benar atau cubaan menipu. – Agensi


