Aktor berpengalaman, Datuk Rosyam Nor menaruh keyakinan faktor usia bukan halangan untuk seseorang pelakon bersinar.
Rosyam atau pemilik nama, Mohamed Noor Shamsuddin, 58, bersyukur kerana masih diberi ruang selain memiliki aura untuk menarik minat penonton generasi baru mahupun lama, menurut laporan Harian Metro.
“Semuanya adalah rezeki daripada Allah SWT. Dahulu, kebanyakan drama hanya mengambil pelakon muda, namun siapa sangka pada usia sekarang saya boleh tular.
“Tidak semestinya yang muda sahaja kena tular. Namun, tular kami disebabkan bakat.
“Pada awalnya, orang benci dan maki saya. Apabila baca semula komen, mereka sebenarnya kagum dengan lakonan saya,” katanya pada majlis pelancaran treler Keluang Man, baru-baru ini.
Rosyam berkata, kejayaan diraih adalah hasil usaha dan kerja keras sepanjang hampir 40 tahun aktif dalam industri seni tanah air.
Katanya lagi, pencapaian berkenaan turut dibantu oleh kekuatan naskhah, gandingan barisan pelakon serta pasukan produksi itu sendiri.
“Tidak dinafikan ada kalanya cerita berkait rapat dengan kehidupan masyarakat mampu mendapat tempat.
“Kebanyakan platform penstriman suka membuat cerita ala-ala Hollywood, tapi akhirnya cerita ‘kampung’ yang meletup.
“Secara tidak langsung ini membuktikan bakat dan peluang adalah sama penting. Alhamdulillah ia mencetus fenomena. Tidak dinafikan setiap pelakon mempunyai impikan dan harapan sebegitu,” kata Rosyam yang menjadi tular menerusi lakonannya sebagai Iman dalam drama bersiri Keluarga Itu di TV3. – Agensi
