Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Seramai 46 kanak-kanak dari 15 buah keluarga telah dipilih untuk menerima bantuan projek School Supply Drive 3.0 yang dikelolakan oleh Persatuan KamiPrihatin dengan kerjasama Belia Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Syababurroja.
Majlis penyerahan bantuan tersebut diadakan di Dewan Serbaguna, Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kg Kiarong kelmarin.
Objektif projek berkenaan adalah untuk menyokong pelajar yang kurang bernasib baik di peringkat sekolah rendah dan menengah.
Projek berkenaan dibahagikan kepada dua fasa yang mana fasa pertama adalah penyediaan dan pengagihan bekalan sekolah yang telah dilaksanakan pada Disember 2024.
Manakala fasa kedua adalah sebuah majlis ceramah motivasi yang bertujuan untuk memberikan inspirasi dan meningkatkan semangat kepada kanak-kanak yang telah menerima bantuan dan telah dilaksanakan pada 29 Januari lalu.
Projek berkenaan juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan daripada KamiPrihatin untuk memberikan bantuan kepada komuniti yang memerlukan, dengan fokus utama terhadap keperluan pendidikan bagi kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah.
KamiPrihatin sangat berharap dan menghargai dengan kerjasama Belia Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Syababurroja, perlaksanaan projek School Supply Drive 3.0 akan memberi impak positif kepada kanak-kanak dan keluarga yang kurang bernasib baik sambil memberikan mereka dorongan moral dan material untuk terus berjaya dalam bidang pendidikan.
Semua di atas: Antara penerima bantuan berkenaan.