Monday, December 30, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kampung Bokok pilih calon ketua kampung

    Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

     

    TEMBURONG, 21 Sept – Majlis pemilihan calon ketua Kampung Bokok telah menyaksikan calon tunggal, Awang Abdullah bin Haji Mahmood, 55, mendapat persetujuan besar daripada 100 orang yang datang mengundi di Sekolah Rendah Bokok, Mukim Bokok, Daerah Temburong, kelmarin.

    Awang Abdullah yang sedang berkhidmat di Jabatan Pertanian dan Agrimakanan Cawangan Temburong dan pernah bekerja di Kementerian Pertahanan dan Jabatan Daerah Temburong menyaksikan 65 hadirin bersetuju, 28 tidak bersetuju dan tujuh lagi undi didapati rosak.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Bokok, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu; Pegawai Pentadbir Kanan, Haji Mohd Zamree bin Haji Junaidi dan Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan selaku wakil dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Dayang Jaimah binti Tuah.

    Awang Abdullah mendapat 65 undi bersetuju.

    Terdahulu, majlis itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat sebelum diteruskan dengan ucapan daripada Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohamad Khairul Shahrul bin Haji Duahim, selaku pengerusi majlis.

    Selain mendengar ucapan daripada calon ketua kampung, majlis juga mendengar taklimat tentang tatacara pemilihan dan pengundian calon disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Ketua Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Jabatan Daerah Temburong, Ampuan Noorirawaty binti Ampuan Haji Razid.

    Keputusan pengundian ini akan digunakan dalam menyediakan sokongan untuk dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri untuk proses selanjutnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda