ZAANDIJK – Dengan kincir angin bersejarah dan rumah kayu yang terletak di tepi sungai berliku-liku, kawasan Zaanse Schans yang terkenal di TikTok dan sempurna diambil sebagai gambar dan ia wajib dikunjungi sesiapa saja yang datang ke Belanda.
Namun, perkampungan bangunan berusia ratusan tahun yang terletak berhampiran Amsterdam ini kini telah menjadi ‘simbol nasional pelancongan berlebihan,’ menurut pihak berkuasa tempatan yang kini merancang untuk mengenakan bayaran masuk, dan cadangan itu hangat diperdebatkan.
Cadangan tiket masuk bernilai 17.50 euro (RM90) yang dijangka diperkenalkan tahun hadapan dibuat di tengah-tengah reaksi hebat global terhadap pelancongan massa, di mana beberapa destinasi popular seperti Venice juga mula mengenakan caj kepada pelancong harian.
Pada hari musim panas yang cerah ketika AFP mengadakab lawatan, barisan panjang terbentuk di hadapan kincir angin terkenal, dan orang ramai berasak-asak menyeberangi jambatan demi mendapatkan gambar sempurna berlatarbelakangkan suasana desa yang mempesona.
Bas pelancong tiba tanpa henti sepanjang hari, menurunkan ratusan pelawat di kawasan kecil yang buat masa ini masih terbuka dan percuma kepada orang awam.






Majlis Perbandaran Zaanstad berkata bayaran masuk itu amat penting untuk memelihara bangunan-bangunan warisan yang kini berada di bawah ‘tekanan hebat’ akibat jumlah pelancong yang tinggi.
“Sejak beberapa tahun lalu, Zaanse Schans telah menjadi simbol nasional kepada isu pelancongan berlebihan,” kata ahli majlis, Wessel Breunesse.
Dianggarkan sekitar 2.6 juta pelancong melawat lokasi itu tahun lalu, dan angka itu dijangka meningkat kepada 3 juta dalam tempoh beberapa tahun jika tiada langkah diambil. Caj masuk berpotensi mengurangkan jumlah itu kepada sekitar 1.8 juta setahun, dan hasil kutipan boleh digunakan untuk memulihara bangunan-bangunan bersejarah tersebut.
“Tidak berbuat apa-apa bukanlah satu pilihan. Tanpa sumber yang mencukupi untuk penyelenggaraan, warisan ini akan lenyap dalam tempoh lima hingga tujuh tahun,” jelas kenyataan majlis kepada AFP.
EKONOMI BERGANTUNG PADA PELANCONGAN
Apa yang ramai pelancong tidak tahu adalah, meskipun banyak bangunan di sana wujud sejak abad ke-16, lokasi itu sendiri sebenarnya sebuah tapak buatan yang didirikan selepas Perang Dunia Kedua.
Ketika itu, seni bina kayu tradisional Belanda diancam kepupusan. Untuk memelihara sejarah ini, Datuk Bandar Joris in ’t Veld mencadangkan supaya rumah-rumah lama itu dipindahkan ke satu lokasi khas yang dilindungi.
Kincir angin pertama tiba pada tahun 1955, diikuti oleh rumah-rumah beberapa tahun kemudian.
Tapak ‘Zaanse Schans’ ini akhirnya menjadi terkenal dan dirasmikan oleh Ratu Juliana pada tahun 1972.
“Zaanse Schans tidak pernah dibayangkan sebagai tarikan pelancong antarabangsa seperti sekarang, yang menarik jutaan pengunjung dari seluruh dunia,” ujar Breunesse.
Namun bagi penduduk tempatan dan usahawan, Ingrid Kraakman, cadangan bayaran masuk itu membawa kesan buruk baik sebagai penduduk mahupun pekerja kedai keju tempatan.
“Sebagai penduduk di sini, saya tidak mahu tinggal di sebalik pagar… itu tidak wajar,” kata wanita berusia 62 tahun itu dari rumahnya yang dibina pada abad ke-17 di tengah-tengah Zaanse Schans.
Kraakman dan suaminya tinggal di kawasan itu selama 33 tahun dan percaya bayaran masuk itu akan memberikan tamparan hebat terhadap ekonomi tempatan dan pekerjaan.
“Timbul banyak kebimbangan,” katanya sambil menganggarkan kira-kira 80 peratus ekonomi kawasan itu bergantung kepada pelancongan.
Kedai kejunya sentiasa penuh dengan pelawat yang tertarik dengan sampel percuma dan cenderahati, namun beliau percaya caj masuk itu akan menjejaskan perbelanjaan pelancong secara drastik.
“Keluarga dengan empat orang ahli mungkin sudah membayar kira-kira 80 euro dengan bayaran letak kereta, jadi bajet mereka untuk membeli-belah akan berkurang,” katanya kepada AFP.
“Mereka tidak beli keju. Tidak beli jam. Cuma beli cenderahati atau keju paling kecil.”
TUNTUTAN REFERENDUM
Pasangan Kraakman telah mengumpul lebih 2,000 tandatangan untuk menuntut referendum berhubung isu ini, namun usaha mereka setakat ini masih tidak
mendapat sambutan daripada pihak berkuasa.
Menyedari akan bantahan daripada segelintir penduduk, majlis perbandaran memberi jaminan bahawa kawasan itu akan kekal percuma untuk penduduk tempatan dan tidak akan ada pagar fizikal dibina.
Walaupun pelan tersebut dirancang untuk tahun depan, pindaan telah dimasukkan untuk membolehkan penangguhan.
Kini tahun 2026 dilihat sebagai sasaran yang terlalu singkat. “Ia ibarat menembak ke bulan,” kata seorang pegawai tempatan secara anonim.
Kebanyakan pelancong yang ditemui menyatakan lawatan itu tetap berbaloi walaupun perlu membayar.
Pelawat dari Sepanyol, Robert Duque berkata kepada AFP, “Tempat ini sangat cantik tapi kadangkala terlalu sesak sampai kita tidak dapat menikmati suasana sebenar.”
Pengurus operasi berusia 35 tahun itu berkata dia menyokong bayaran masuk untuk mengurangkan jumlah pengunjung.
“Saya rasa bagus. Dengan cara ini, kedatangan pelawat boleh diagihkan dan kita boleh menikmati kemudahan di sini dengan lebih baik,” katanya. – AFP

