VIETNAM – Di sebuah perkampungan kecil di utara Vietnam, Dang Thi Hoa mengikat seikat batang kemenyan yang baru dikeringkan menjelang Tahun Baharu Cina dan memerhati barisan pelancong yang menunggu untuk merakamkan gambar.
Tiga generasi keluarga Dang Thi Hoa telah mewarnai batang kemenyan dalam warna merah atau merah jambu magenta, menjelang sambutan tahun baharu, yang dikenali sebagai Tet di Vietnam.
Namun Hoa dan ramai keluarga lain yang tinggal dan bekerja di ‘kampung kemenyan’ Quang Phu Cau, kini juga membuat batang-batang dalam warna kuning, biru dan hijau, memenuhi keperluan pengunjung yang tidak sabar-sabar untuk mengambil gambar untuk Instagram.
Di hadapan sebuah kuil kampung, terdapat beratus-ratus berkas batang kemenyan pelbagai warna dikeringkan di bawah sinar matahari – disusun dalam bentuk peta gergasi Vietnam.
“Kampung kami menjadi tumpuan pelancong,” kata Dang, 45, yang telah membuat batang kemenyan selama tiga dekad.
Penduduk kampung memperoleh pendapatan yang lumayan daripada pelancong yang berswafoto dengan kemenyan.
Untuk harga VND50,000, pelancong boleh berbelanja asalkan mereka suka mengambil gambar dengan batang kemenyan dari bengkel – yang harganya hanya AS0.50 untuk satu pek 20 batang.
Di rumah berdekatan, tangga besi telah didirikan untuk membolehkan pelancong mengambil gambar dari atas.
Nguyen Huu Long berkata dia sangat sibuk, dengan tempahan datang mencurah menjelang Tet, apabila penganut agama Buddha berkumpul di kuil untuk menyalakan kemenyan atau membakar batang setanggi di mazbah nenek moyang di rumah.
Namun walaupun pada musim sibuk di bengkelnya, dia memastikan seseorang bersedia untuk melayan pengunjung.
“Saya menugaskan satu atau dua orang untuk membantu pelawat mencari sudut terbaik untuk foto – dan memastikan mereka tidak mengganggu proses pengeringan kemenyan,” kata Nguyen, 58.
Para pelancong nampaknya menghargai usaha penduduk kampung.
“Tempat itu nampak cantik, sangat berwarna-warni dan ia benar-benar tempat yang sesuai untuk Instagram,” kata Catherine Caro dari Filipina.
Quang Phu Cau, di pinggir Hanoi, adalah antara beberapa kampung di seluruh Vietnam yang terlibat dalam perniagaan batang kemenyan purba, dengan ramai keluarga yang tinggal di lorong-lorong kecil terlibat dalam proses pencelupan, pengeringan atau pemotongan kulit buluh.
Jadual kerja penuh termasuk menetak dahan buluh untuk dimasukkan ke dalam mesin pemotong, mencelup jalur nipis di dalam baldi pewarna berwarna-warni, sebelum meninggalkan batang yang bertebaran di atas jalan seperti sejambak bunga untuk pengeringan udara.
“Saya bangga dengan kraf tradisional kami sekeluarga… dan juga berasa gembira kerana kampung kami semakin dikenali,” kata Dang.
“Saya juga memperoleh lebih banyak pendapatan,” katanya, gembira. – AFP