Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kampung kraf kekalkan tradisi pertukangan kayu

    Oleh Thanh Nga –

    HANOI – Hanya 20 kilometer (km) dari pusat Ha Noi, terletaknya Kampung kraf Thuong Mao di pinggir daerah Ha Dong.

    Terkenal dengan tradisi pertukangan kayunya, kampung ini telah berkembang maju selama berabad-abad dan terus berkembang pesat sebagai pembekal utama produk kayu terkemuka di seluruh negara.

    Kami mengunjungi kampung kraf ini pada suatu petang yang cerah, di mana suasana bergema dengan bunyi gerusan kayu, ketukan pahat berirama dan kehadiran lori yang sibuk membawa kayu ke kampung.

    Ketika kami melangkah masuk ke dalam kampung, keindahan sebenar kemahiran tukang-tukang kayu itu menjadi jelas — sebagai bukti dedikasi mereka dalam mencipta warisan budaya dan sejarah yang ketara.

    Dengan kemahiran tangan mereka, tukang-tukang kayu Thuong Mao telah menyumbang kepada pembinaan pelbagai rumah komunal, pagoda, kuil dan gereja, semuanya dilakukan dengan teliti mengikut prinsip-prinsip seni bina kuno.

    Nguyen Quang Do (kiri) mengukir corak dengan teliti dan memberikan perhatian terhadap perincian. — Gambar oleh VNS Thanh Nga
    Kampung Thuong Mao mempunyai 570 isi rumah, 350 daripadanya terlibat dalam pertukangan kayu. — Gambar oleh VNS Thanh Nga
    Ukiran corak dari kayu cendana. — Gambar oleh VNS Thanh Nga
    Sebuah ukiran yang dihasilkan oleh tukang kayu, Nguyen Quang Do. — Gambar oleh VNS Thanh Nga

    Beberapa karya yang menakjubkan ini telah bertahan ujian masa dan kekal utuh sehingga hari ini, termasuk Rumah Komunal Lang Do, Rumah Komunal Khuong Thuong, Rumah Komunal Binh Da dan Rumah Komunal La Tinh.

    Seiring gelombang perubahan sejarah, asas pertukangan Thuong Mao telah diturun-kan dengan setia dari generasi ke generasi, memelihara dan mempamerkan aspek terbaik dari perkampungan kraf ini.

    “Kampung Thuong Mao mempunyai 570 isi rumah, di mana 350 daripadanya terlibat dalam kerja pertukangan kayu.

    “Pada tahun 2009, Jawatankuasa Rakyat Ha Noi secara rasmi mengiktiraf kampung kami sebagai kampung kraf, dan ia mempunyai tempat yang istimewa di hati kami kerana ia adalah tempat beribadat yang melindungi pekerja tukang kayu purba.

    “Setiap tahun, pada hari ke-11 bulan ke-10 dalam kalendar lunar, kami berkumpul untuk upacara peringatan,” beritahu Nguyen Quang Thoai, Pengerusi Persatuan Kampung Pertukangan Tradisional Thuong Mao, kepada Viet Nam News.

    Menurut Thoai, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kampung itu telah memperluaskan pengeluarannya untuk memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat. Mereka telah mempelbagaikan produk hasil tangan mereka termasuk barang pemujaan altar, katil, almari, meja, kerusi, tangga, pintu dan ukiran kayu seni.

    Pekerja mahir juga telah terlibat dalam projek-projek mengukir berskala besar di dalam dan luar negara. Keluaran pertukangan kayu telah meningkatkan taraf kehidupan penduduk tempatan, dengan setiap pekerja memperoleh pendapatan purata AS$400 sebulan.

    Proses mencipta sesuatu produk melibatkan beberapa peringkat yang rumit. Pada masa lalu, apabila kerja manual diutamakan, tukang kayu Thuong Mao menggunakan perkakas asas.

    Walau bagaimanapun, dengan kemunculan teknologi moden, kebanyakan pertukangan telah beralih kepada mesin. Mesin pemotong dan gergaji elektrik telah membantu dalam menambah produktiviti pekerja dan meningkatkan kualiti produk mereka.

    Sebagai seseorang yang telah mendedikasikan seluruh hidup kepada pertukangan kayu, Thoai memahami ciri-ciri unik profesion itu lebih baik daripada orang lain.

    “Pertukangan kayu adalah satu kerja seni yang memerlukan ketelitian, kecekapan serta bakat dan kreativiti semula jadi pertukangan.

    Setiap produk pertukangan melalui enam peringkat utama, termasuk memahami reka bentuk, penyediaan kayu, pemotongan kayu, penyediaan bahagian kayu kasar, pemprose-san awal dan kemasan.

    Setiap pekerja mesti mahir dalam kesemua enam peringkat ini,” katanya.

    Ciri-ciri istimewa tukang kayu Thuong Mao adalah mereka bekerja secara eksklusif atas tempahan pelanggan, dan bukannya terlibat dalam pengeluaran besar-besaran untuk jualan am.

    Pendekatan peribadi ini memastikan setiap produk disesuaikan dengan keperluan dan pilihan pelanggan yang khusus.

    Kami melawat rumah tukang kayu, Nguyen Quang Do, seorang pakar yang terkenal dengan ukiran kayunya yang indah, dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam kraf itu. Do dikagumi kerana keupayaannya untuk mengubah kayu menjadi karya seni yang menawan.

    Apabila kami tiba, kami mendapati Do sedang sibuk dengan kerjanya, mengukir kayu cendana dengan teliti.

    Menurut Do, seni ukiran memerlukan bukan sahaja tangan yang mahir, tetapi juga fikiran yang bijak yang boleh menyelitkan kehidupan dan jiwa ke dalam sekeping kayu.

    Untuk mencapai hasil yang memuaskan, pemilihan kayu berkualiti tinggi secara teliti adalah penting dan pelbagai teknik digunakan semasa proses pemahatan.

    Di samping itu, tukang kayu mesti mempunyai pemikiran yang memastikan setiap produk individu adalah seimbang secara harmoni, tidak semestinya mematuhi nisbah yang ketat.

    Pemasangan memerlukan keteguhan untuk memastikan corak yang rumit terintegrasi dengan lancar, dengan garisan terukir dengan tepat.

    Proses pemahatan manual merupakan kerja yang sukar dan memerlukan pelbagai teknik, tetapi ia menghasilkan produk yang lebih diminati.

    Tukang pahat mesti kekal gigih, menganggap setiap bahagian sebagai ciptaan yang dihargai. – ANN/Vietnam News

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...