Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kampung permai tanpa pergolakan politik

    TASH-BASHAT, KYRGYZSTAN – Krisis politik yang membelenggu negara Kyrgyzstan masih belum sampai ke kampung sunyi Tash-Bashat di kawasan pergunungan berhampiran ibu negara, di mana penduduk bercakap mengenai golongan elit yang bermusuhan dalam negara dengan perasaan penuh reda dan meluat.

    Kanat Kaliyev, seorang petani berusia 57 tahun dan keluarganya berkata mereka tidak mempunyai rasa hormat terhadap pihak berkuasa, yang dilihat oleh mereka sebagai sangat korup.

    “Biarlah mereka mencuri, tetapi sekurang-kurangnya mereka mesti melakukan sesuatu untuk rakyat,” kata anak lelaki Kaliyev yang berusia 27 tahun, Azret. “Namun tidak, mereka cuba mencuri segala-galanya.”

    Kaliyev dan penduduk kampung lain dengan rasa was-was mengalu-alukan Sadyr Zhaparov, yang menjadi pemimpin sementara negara selepas Presiden Sooronbai Jeenbekov dipaksa meletak jawatan di bawah tekanan dari pembantah berikutan pilihan raya parlimen yang dipertikaikan pada 4 Oktober.

    Perkembangan itu menandakan kali ketiga dalam 15 tahun di mana seorang pemimpin negara Asia Tengah yang bersempadan dengan China telah disingkirkan oleh pemberontakan popular. Sama seperti pemberontakan yang mengguling presiden pada tahun 2005 dan 2010, pergolakan terbaharu adalah didorong oleh persaingan puak yang menguasai politik di Kyrgyzstan, salah sebuah negara paling miskin yang wujud selepas kejatuhan Soviet pada 1991.

    Seorang gembala menggiring sekumpulan kuda ke padang rumput ternak di luar kampung Archaly, kira-kira 10 kilometer dari barat daya Bishkek, Kyrgyzstan. – AP
    Adilet Kaliyev duduk sementara isterinya Burul (tengah) menghidangkan makanan tengah hari sebelum dia keluar menggiring kambing biri-biri di rumah keluarganya di kampung Tash-Bashat, Nishkek, Kyrgyzstan. – AP

    Zarina, isteri Azret Kaliyev, menuang susu ke dalam tong di sebuah ladang berhampiran rumah keluarga mereka di kampung Tash Bashat. – AFP

    Perlembagaan negara melarang Zhaparov, sebagai pemangku pemimpin negara, daripada bertanding untuk jawatan presiden dalam pengundian awal yang ditetapkan pada 10 Januari, namun jelasnya beliau akan melucutkan tugasnya mulai awal bulan depan untuk membolehkannya menyertai kempen.

    Penyokong Zhaparov, yang memaksa peletakan jawatan presiden, dihantar dengan bas ke ibu negara dari rantau asalnya Issyk-Kul. Penduduk Tash-Bashat, terletak 20 kilometer dari tenggara ibu negara, tidak mengambil bahagian dalam pergolakan tersebut.

    Kaliyev berkata dia dan penduduk kampung lain akan menyokong Zhaparov sebagai pemimpin baharu negara, tetapi mengingatkan bahawa beliau juga akan disingkirkan sekiranya beliau terbabit dalam rasuah sama seperti pemimpin sebelumnya.

    Seperti penduduk Tash-Bashat lain, keluarga Kaliyev menternak kambing biri-biri dan lembu. Mereka mengadu mengenai kekurangan bantuan dari kerajaan dan kegagalan pihak berkuasa untuk mempertingkat infrastruktur mereka yang usang.

    “Mereka mengutip cukai, tetapi mereka berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa. Kerajaan tidak memberikan perhatian kepada keperluan rakyat,” kata Kaliyev, menambah pihak berkuasa belum menunaikan janji lama mereka untuk menurap jalan raya di antara kampung itu dan ladang yang terletak di kawasan lebih tinggi di pergunungan.

    Kehidupan mengikut tradisi berusia beberapa abad di kampung yang terletak di antara kawasan pergunungan yang indah, dengan penduduk menggiring kambing biri-biri dan lembu di kawasan gunung, menghasilkan susu dan produk susu serta membawa hasil keluaran mereka ke pasar tempatan untuk dijual.

    Dalam waktu lapang mereka, lelaki tempatan suka bermain Kok Boru, sejenis permainan tradisional di mana pemain yang menunggang kuda mengendali bangkai kambing dan bukannya bola serta menjaring dengan memasukkannya dalam gol pasukan lawan. – AP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda