Kampungku ceria erat perpaduan, jana pendapatan

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Ke arah mengeratkan lagi perpaduan dan silaturahim dalam kalangan penduduk, Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumapas A melalui ahli Biro Sosial dan Perekonomian telah mengadakan riadah bersenam dan berjalan kaki menerusi acara Kampungku Ceria hari ini.

Riadah berjalan kaki yang dimulakan di kawasan tanah lapang Perumahan STKRJ Lumapas A itu turut dihadiri ahli Mesyuarat Negara yang juga Pemangku Penghulu Mukim Pengkalan Batu dan Ketua Kampung Limau Manis, Yang Berhormat Haji Mohimin bin Johari @ Jahari serta Pemangku Penghulu Mukim Lumapas, Haji Suhaili bin Haji Moktal.

Selain beriadah, acara turut diselitkan dengan aktiviti jualan yang secara langsung dapat memberi peluang kepada para penduduk untuk mempamerkan produk kampung dan menjana kewangan dengan terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan itu.

Acara riadah bersama jual-jualan yang julung-julung kalinya diadakan dengan penyertaan penduduk Kampung Lumapas B itu dirancang akan dijalankan setiap minggu dengan salah satu tujuannya untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi golongan yang menerima bantuan-bantuan kebajikan daripada pihak kerajaan.

Dalam pada itu, Jawatankuasa MPK melalui Biro Sosial dan Perekonomian akan terus meningkatkan usaha serta menyediakan perancangan yang lebih berkesan untuk membantu anak-anak kampung bagi menjana kegiatan-kegiatan perniagaan agar dapat dijadikan sumber pencarian yang lebih berdaya tahan.

Gambar ramai di salah satu gerai jualan pada acara berkenaan. – Gambar serahan MPK Lumapas A