Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kamus Bahasa Bajau Sama dilancarkan

    KOTA KINABALU, 15 Sept – Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan penerbitan Kamus Asas Bahasa Bajau Sama, yang dilancarkannya hari ini, sebagai membuka lembaran baharu sejarah khususnya bagi masyarakat Bajau Sama.

    Salleh yang juga penaung Persatuan Bahasa dan Budaya Bajau Sama Kota Belud berkata dengan penerbitan kamus berkenaan, sistem ejaan dan perkataan Bajau Sama akhirnya berjaya dibentuk setelah ratusan tahun orang Bajau menggunakan bahasa Bajau Sama secara lisan.

    “Justeru itu, status bahasa ini akan melonjak naik ke satu tahap dan disiplin penggunaannya lebih jelas serta nilainya akan lebih berkualiti.

    “Penerbitan Kamus Asas Bajau Sama ini seterusnya diharap akan memberi impak positif pada warna-warni dan galeri bahasa negara kita yang mempunyai pelbagai bangsa serta etnik,” katanya ketika berucap melancarkan Kamus Asas Bahasa Bajausama di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

    Turut hadir sama Naib Canselor UMS Prof Dr D Kamarudin D Mudin dan Yang Dipertua Persatuan Bahasa dan Budaya Sama Kota Belud Chendramata Sinteh yang juga juruperunding penerbitan kamus berkenaan Dr Mark Miller.

    Seorang gadis lengkap berpakaian tradisional Bajau menunjukkan buku ‘Kamus Asas Bajau Sama’ selepas pelancarannya oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak di Universiti Malaysia Sabah (UMS). – Bernama

    Salleh berkata penerbitan kamus berkenaan juga membolehkan orang Bajau Sama bergerak seiring dalam memaparkan khazanah sejarah, budaya, tradisi dan bahasa kepada masyarakat antarabangsa.

    Selaku penasihat Persatuan Bahasa dan Budaya Bajau Sama, katanya, beliau sentiasa mengikuti perkembangan usaha untuk menerbitkan kamus berkenaan yang mengambil masa bertahan-tahun.

    “Usaha yang begitu lama ini sangat mahal dan bermakna kerana selain daripada berjaya melunaskan amanah datuk nenek yang ingin melihat bahasa Bajau Sama tetap unggul seiring masa, usaha murni ini juga menjadi penebus maruah anak cucu Bajau Sama yang akan datang.

    “Tahniah kepada Persatuan Bahasa dan Budaya Bajau Sama,” katanya.

    Mengenai peranan bahasa Bajau Sama, Salleh berkata bahasa itu perlu dijadikan bahasa ilmu agar ada keperluan untuk mempelajarinya demi kesinambungan masa depan generasi akan datang khususnya kaum Bajau Sama.

    Penerbitan kamus berkenaan juga membuka peluang besar kepada mereka yang berminat dalam penulisan tentang budaya, latar sejarah,cerita pendek dan keagamaan sama ada menjurus tentang orang Bajau atau memperluas penulisan itu ke peringkat global, katanya.– Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda