Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JAN – Keunikan Bahasa Melayu (BM) Brunei akan diketengahkan bukan sahaja dalam negara tetapi juga di persada dunia apabila Kamus BM Brunei akan diterbitkan secara atas talian (online).
Usaha itu dihasratkan untuk menjadikan BM Brunei lebih dikenali dan mengetahui bahawa Negara Brunei Darussalam itu mempunyai identiti dan bahasanya yang unik serta akan diperkenalkan kepada warga antarabangsa.
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hajah Sariani binti Haji Ishak ketika berucap di perasmian Bengkel Perkamusan 2020 yang berlangsung di Dewan Patih Barbai, DBP, Berakas, hari ini.
Beliau juga menyatakan bahawa DBP telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Universiti Teknologi Brunei dan sedang bekerjasama untuk menghasilkan kamus dalam talian (online) khusus mengetengahkan BM Brunei yang mempunyai perbezaan daripada BM standard.
Mengulas mengenai bengkel itu, Hajah Sariani menyatakan bahawa ia diharap dapat memberikan pendedahan baharu kepada para peserta dalam persediaan mereka untuk menerbitkan Kamus Bahasa Melayu Brunei Edisi ke-3.


Ilmu yang akan diraih itu, jelasnya lagi, bukan sahaja untuk menerbitkan kamus berkenaan tetapi juga digunakan untuk menerbitkan kamus-kamus lain yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan penduduk di negara ini.
Bengkel anjuran DBP selama dua hari hingga esok itu telah disertai oleh seramai 19 peserta dan dikendalikan oleh fasilitator berpengalaman iaitu Haji Alipudin bin Haji Omarkandi di mana beliau akan menyentuh mengenai dengan jenis-jenis kamus, makrostruktur dan mikrostruktur kamus, morfologi serta manual kamus.
Bengkel itu dihasratkan sebagai penyegaran semula dan menambah ilmu atau kemahiran kepada ahli leksikografi yang sudah lama berkhidmat, menyumbang ilmu baharu kepada staf yang baharu berkecimpung dalam bidang perkamusan, khususnya dari aspek semantik dan pragmatik.
Bengkel itu juga akan menyumbang ruang untuk ahli leksikografi berbincang dengan pakar mengenai permasalahan perkamusan yang dihadapi dan belum terungkai khususnya mengenai struktur makro dan mikro kamus BM Brunei.
Hasil perbincangan dalam bengkel itu akan dimanfaatkan untuk membuat manual Kamus Bahasa Melayu Brunei Edisi ke-3.
Perkara itu disebabkan setiap kamus pasti berbeza struktur makro dan struktur mikro antaranya dari segi penataan morfologi (derivasi), metabahasa dan unsur-unsur linguistik yang lain.