Tuesday, April 8, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanada adu tarif AS kepada WTO

    GENEVA, 7 APRIL – Kanada telah mengemukakan aduan rasmi kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung tindakan Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 25 peratus ke atas import kereta dan alat ganti dari negara itu, menurut kenyataan badan perdagangan global tersebut hari ini.

    Permohonan rundingan pertikaian itu difailkan Khamis lalu, iaitu hari sama tarif tersebut mula berkuat kuasa terhadap semua kenderaan dan alat ganti yang tidak dikeluarkan di AS.

    “Kanada telah meminta rundingan pertikaian WTO dengan AS berkaitan langkah mengenakan duti 25 peratus ke atas automobil dan alat ganti dari Kanada,” kata kenyataan WTO.

    Dalam permohonan tersebut, kerajaan Kanada berhujah bahawa tindakan AS melanggar obligasi negara itu di bawah undang-undang perdagangan antarabangsa, khususnya perjanjian WTO.

    Sebagai tindak balas segera, Kanada mengumumkan tarif balas 25 peratus ke atas puluhan ribu kenderaan yang diimport dari AS.

    Walaupun Washington memberi pengecualian kepada kebanyakan barangan di bawah perjanjian perdagangan bebas AS-Kanada-Mexico, beberapa sektor utama Kanada termasuk keluli, aluminium dan automotif tetap terjejas.

    Tarif ke atas sektor automotif itu dijangka memberi impak besar terhadap rantaian bekalan Amerika Utara, memandangkan industri kereta di rantau itu saling bergantung di antara satu sama lain.

    Langkah perundingan di peringkat WTO memberi peluang kepada kedua-dua pihak mencari penyelesaian damai tanpa meneruskan proses perundangan lebih lanjut. – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda