Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanada ancam tarif terhadap keluli, aluminium AS

    TRENTON, 20 JUN – Kanada akan mengenakan kuota dan cadangan kenaikan cukai terhadap import keluli dan aluminium dari Amerika Syarikat (AS) sekiranya rundingan perdagangan antara kedua-dua negara gagal dimuktamadkan menjelang 21 Julai, umum Perdana Menteri, Mark Carney kelmarin.

    Menurut laporan Anadolu Ajansi, Carney berkata kerajaan persekutuan akan melaksanakan satu program baharu termasuk sistem kuota kadar tarif yang mana ia membenarkan sejumlah import keluli dari negara yang mempunyai perjanjian perdagangan dengan Kanada, namun sebarang import yang melebihi had ditetapkan akan dikenakan tarif tinggi.

    Langkah tersebut bertujuan menjadikan produk keluli keluaran tempatan lebih kompetitif, terutamanya dalam menghadapi tekanan akibat tarif 50 peratus yang dikenakan oleh Donald Trump sebelum ini.

    “Kita mesti memperkukuh kekuatan domestik dan melindungi para pekerja serta perniagaan Kanada daripada tarif tidak adil yang dikenakan AS ketika ini,” kata Carney dalam sidang media di Bukit Parlimen, Ottawa.

    Beliau berkata kadar tarif timbal balik terhadap keluli dan aluminium dari AS masih bersifat dinamik iaitu boleh naik atau turun bergantung kepada kemajuan rundingan perdagangan antara kedua-dua negara.

    Carney dan Trump sebelum ini bersetuju semasa Sidang Kemuncak G7 minggu ini untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan dalam tempoh 30 hari.

    Sementara itu, Rang Undang-Undang baharu C-5, jika diluluskan, akan memberikan kerajaan Kanada kuasa mempercepatkan projek-projek pembinaan berskala besar yang memerlukan penggunaan keluli dan aluminium dalam kuantiti tinggi.

    “Kita sebagai rakyat Kanada mampu memberi lebih banyak kepada diri sendiri berbanding apa yang boleh diambil oleh Amerika. Para pekerja industri keluli dan aluminium kini berada di barisan hadapan dalam perang perdagangan ini, dan mereka akan membantu membina ekonomi Kanada yang kukuh — ekonomi terkuat dalam kalangan negara G7,” tegas Carney. – Bernama/Anadolu

    Mark Carney dalam sidang media di Sidang Kemuncak G7 di Kananaskis, Alberta, pada 17 Jun. Kanada bakal kenakan tarif terhadap AS. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda