QUEBEC, 7 DIS – Sebuah syarikat pembuat ubat-ubatan Kanada berkata vaksin COVID-19 berasaskan tumbuh-tumbuhan menunjukkan perlindungan kuat terhadap virus dan akan mendapatkan kelulusan di dalam dan luar negara.
Medicago mengumumkan hari ini bahawa vaksin dua dosnya adalah 71 peratus berkesan mencegah jangkitan COVID-19 dalam kajian peringkat akhir yang termasuk beberapa varian khususnya varian Delta. Keputusan syarikat tidak termasuk varian Omicron, yang masih belum menular semasa tempoh kajian.
Syarikat di bandar Quebec itu berkata ia akan berusaha mendapatkan kelulusan Kanada dan juga telah memulakan proses untuk memfailkan kajian dengan badan pengawal selia di AS, UK dan negara lain. Syarikat itu berkata ia juga bersedia untuk menghantar data kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Medicago menggunakan tumbuh-tumbuhan sebagai kilang hidup untuk membiak partikel seakan-akan virus, yang meniru spike protein yang menyalut koronavirus. Rakan British GlaxoSmithKline menyumbang bahan kimia perangsang imun bergelar ‘adjuvant’ kepada vaksin itu.
Kajian Medicago membabitkan 24,000 sukarelawan dewasa yang menerima sama ada vaksin atau suntikan ‘palsu’ dan dipantau untuk menjejaki jangkitan dan komplikasi COVID-19. Mereka menerima dua suntikan selang tiga minggu.
Menurut syarikat, tidak ada isu keselamatan serius yang dikesan dan kesan sampingan seperti demam dan lesu adalah ‘ringan sehingga sederhana’ dan hilang dalam masa tiga hari atau kurang. Keputusan dikeluarkan dalam kenyataan media dan masih belum diperiksa oleh pakar. – AP
