NEW YORK, 13 MAC – Kanada mula mengenakan tarif ke atas produk dari Amerika Syarikat (AS) hari ini sebagai tindak balas terhadap tarif 25 peratus yang dikenakan Presiden AS, Donald Trump ke atas import keluli dan aluminium, lapor agensi berita Jerman dpa.
Bermula tengah malam, Kanada mengenakan tarif terhadap produk import dari AS bernilai kira-kira AS$29 bilion (C$20 bilion), meliputi keluli dan aluminium, komputer serta peralatan sukan.
Perdana Menteri Kanada yang bakal dilantik, Mark Carney menyifatkan tarif AS itu sebagai ‘tidak berasas’ dan memberi kesan buruk kepada pekerja Kanada.
“Kita bertindak balas dengan sewajarnya — dan setiap dolar daripada tarif ini akan digunakan untuk menyokong pekerja kami,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Carney dipilih sebagai pemimpin baharu Parti Liberal, menggantikan Justin Trudeau dan dijangka memegang jawatan perdana menteri buat sementara waktu. Beliau dijadual mengangkat sumpah esok. – Bernama
