MONTREAL, 30 MEI – Kanada akan menggunakan hampir 50,000 dos vaksin COVID-19 AstraZeneca (AZ) yang akan tamat tempoh esok, dengan melanjutkan tarikh luput untuk sebulan lagi.
Health Canada dalam satu kenyataan berkata kelulusan untuk melanjutkan tarikh luput daripada 31 Mei kepada 1 Julai disokong oleh bukti saintifik.
“Perubahan ini bagi memastikan persediaan dibuat bagi membolehkan lebih ramai rakyat menerima vaksin,” menurut agensi itu.
Pada 22 Mei lalu, jurucakap Health Canada memaklumkan kira-kira 49,000 dos AstraZeneca dengan tarikh luputnya esok masih belum digunakan.
CBC melaporkan kebanyakan vaksin itu berada di wilayah Ontario.

Sebelum ini, pihak berkuasa kesihatan Kanada meluluskan jangka hayat enam bulan untuk vaksin AstraZeneca.
Bagaimanapun, syarikat pengeluar vaksin itu memaklumkan pada 27 Mei lalu bahawa kestabilan produk dan data pemodelan menunjukkan ia boleh digunakan dengan selamat dan berkesan selama satu bulan lagi.
Beberapa negeri sebelum ini mengumumkan mereka menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca kerana dakwaan vaksin itu boleh menyebabkan pembekuan darah.
Untuk mereka yang sudah menerima dos pertama AstraZeneca, pemberian dos kedua berjalan se-perti yang dijadualkan.
Lebih 55 peratus daripada 38 juta penduduk Kanada menerima dos pertama vaksin COVID-19, manakala lima peratus sudah menerima dua dos.
Selain AstraZeneca, vaksin dari Pfizer, Moderna dan Johnson & Johnson juga digunakan di Kanada. – AFP