Jumaat, November 21, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanada hilang status penghapusan campak

    OTTAWA, 11 NOV – Agensi Kesihatan Awam Kanada kelmarin memaklumkan bahawa negara itu telah kehilangan status penghapusan campak.
     
    Dalam satu kenyataan, agensi berkenaan berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai perubahan status itu oleh Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika selepas mengesahkan bahawa strain virus campak yang sama telah menular secara berterusan di dalam negara itu selama lebih setahun.
     
    Menurut kenyataan itu, Kanada kini mengalami wabak campak besar yang melibatkan pelbagai wilayah dan bermula pada Oktober 2024.
     
    Sehingga 25 Oktober, jumlah kumulatif 5,138 kes campak telah dilaporkan di seluruh negara tahun ini, menurut laporan mingguan pemantauan campak dan rubela yang dikeluarkan oleh kerajaan Kanada.
     
    Laporan itu turut menyebut bahawa dua kematian telah direkodkan, kedua-duanya melibatkan anak damit pramatang yang dijangkiti campak kongenital.
     
    Kanada sebelum ini memperoleh status penghapusan campak pada 1998.
     
    Walaupun kadar penularan menunjukkan tanda-tanda penurunan kebelakangan ini, wabak itu berlarutan selama lebih 12 bulan, terutamanya dalam komuniti yang kurang menerima vaksin, menurut agensi berkenaan.
     
    Agensi itu menegaskan bahawa Kanada boleh mendapatkan semula status penghapusan campak selepas penularan strain virus campak dalam wabak semasa berjaya dihentikan sekurang-kurangnya selama 12 bulan. – Bernama
     
    Sebotol vaksin Campak, Beguk dan Rubela (MMR) untuk kanak-kanak. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda