MIAMI, 28 JUN – Kanada merasa kecewa selepas mencatat gol sendiri pada minit ke-94 untuk membolehkan Guadeloupe menyamakan kedudukan 2-2 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D Piala Emas CONCACAF, yang berlangsung pada kelmarin.
Sementara itu, dalam perlawanan berasingan dalam pertembungan serantau Amerika Utara dwitahunan, Guatemala menewaskan Cuba 1-0 di Fort Lauderdale, Florida, untuk merampas kedudukan teratas peringkat kumpulan.
Di Toronto, pasukan tuan rumah seolah-olah meraih kemenangan apabila Thierry Ambrose dari Guadeloupe, yang membuka jaringan pada minit ke-23, menyudahkan bola hasil hantarang lintang yang melencong ke gawang menewaskan penjaga gol Kanada, Jucen Russell-Rowe untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.
Penyerang Kanada, Lucas Cavallini, yang bermain untuk Tijuana di Liga Mexico, segera menyamakan kedudukan hanya empat minit selepas separuh masa kedua bermula.
Kanada berada di hadapan pada minit ke-70 hasil jaringan sendiri oleh pertahanan Guadeloupe, Meddy Lina dan berjaya mengekalkan kelebihan itu sehingga saat-saat akhir.
Di Fort Lauderdale, permainan terikat tanpa jaringan pada separuh masa selepas penjaga gol Cuba, Raiko Arozarena menepis sepakan penalti Darwin Lom dari Guatemala dengan tangan kirinya pada minit ketujuh masa kecederaan.
Tetapi Lom menjaringkan gol tunggal perlawanan dari dalam kawasan penalti pada minit ke-48, merembat tepat di sudut bawah tiang kiri dengan satu sentuhan kaki kanan yang melepasi kaki pemain pertahanan.
Perlawanan Kumpulan D akan diteruskan pada Sabtu di Houston apabila Kanada berentap menentang Guatemala dan Cuba bertemu Guadeloupe. – AFP
