OTTAWA, 31 Jan – Kanada telah mengurangkan staf kedutaan mereka di Cuba selepas seorang lagi diplomat telah dijangkiti kecederaan misteri di bahagian otak, seperti yang berlaku ke atas puluhan wakil Amerika Utara ke kepulauan itu, menurut pengumuman oleh kerajaan semalam.
Kes terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan rakyat Kanada dijangkiti penyakit berkenaan meningkat kepada 14 orang, bersama-sama 25 rakyat Amerika lain, kesemuanya mengalami pening, lesu, sakit kepala, komplikasi pendengaran serta penglihatan, hilang keseimbangan badan, loya dan kegagalan untuk menumpukan perhatian.
“Hasil pemeriksaan mengesahkan seorang lagi petugas mengalami simptom yang konsisten dengan pesakit terdahulu,” kata kementerian luar Kanada dalam satu kenyataan sambil menambah punca sebenar masih belum dikenal pasti.
Tahap keselamatan di kedutaannya di Havana turut dipertingkatkan manakala jumlah petugas dikurangkan kepada ‘hampir separuh’, tambah kementerian berkenaan.
Stesen penyiaran rasmi awam Kanada, CBC berkata kedutaan itu kini hanya memiliki lapan petugas.
Pihak berkuasa Kanada dan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini mengesyaki jangkitan berkenaan berpunca daripada penggunaan sejenis senjata akustik yang mengeruhkan hubungan diplomatik kedua-dua negara terbabit dengan Cuba. Bagaimanapun tidak lama selepas itu, Ottawa merumuskan perkara itu sebagai ‘mustahil’.
Doktor dan pegawai AS menarik perhatian berhubung ‘kemungkinan wujudnya satu kecederaan otak jenis baharu’ menggariskannya dalam Jurnal Persatuan Perubatan Amerika terbitan Februari 2018 oleh sekumpulan pakar kesihatan di Universiti Pennsylvania yang merawat 21 diplomat AS. – AFP