OTTAWA, 2 JAN – Satu larangan ke atas warga asing untuk membeli hartanah kediaman di Kanada telah berkuat kuasa pada Ahad, yang bertujuan bagi menyediakan lebih banyak rumah kepada warga tempatan.
Namun, beberapa pengecualian dalam akta tersebut membenarkan individu-individu seperti pelarian dan penduduk tetap yang bukan warganegara untuk membeli rumah.
Pada penghujung bulan Disember, Ottawa menjelaskan bahawa larangan tersebut hanya dikenakan terhadap kediaman bandar dan bukannya hartanah rekreasi seperti rumah musim panas.
Pendekatan sementara selama dua tahun tersebut telah dicadangkan oleh Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau semasa kempen pilihan raya 2021 apabila harga rumah naik mendadak yang telah menyebabkan ramai warga Kanada tidak mampu untuk memiliki rumah kediaman.
“Kemudahan untuk memiliki rumah di Kanada telah menarik minat pengaut keuntungan, syarikat-syarikat besar dan pelabur asing,” kata Parti Liberal semasa pilihan raya pada masa itu. – AFP


