OTTAWA, 15 Ogos – Kanada mahu perlindungan alam sekitar ditambah kepada perjanjian perdagangan benua berusia 23 tahun dengan Mexico dan Amerika Syarikat, kata diplomat tertingginya semalam, sebelum rundingan tiga pihak dalam masa dua hari.
Perlindungan berkenaan, seperti yang ditetapkan dalam ucapan oleh Menteri Hal Ehwal Luar Negara Chrystia Freeland di Universiti Ottawa, akan membentuk peruntukan pekerja Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA).
Perubahan yang dicadangkan juga akan mengiktiraf jantina dan hak penduduk asli dan menjadikannya lebih sukar untuk syarikat mencabar keputusan kerajaan yang menyokong “kepentingan awam,” kata beliau. Rundingan NAFTA dijadual bermula esok di Washington dan berlangsung selama beberapa bulan.
OTTawa dan Washington telah menyimpang mengenai isu alam sekitar, dengan Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau mempelopori kempen memerangi perubahan iklim, dan Presiden AS Donald Trump mengumumkan pengunduran negaranya daripada perjanjian Paris 2015 mengenai pemanasan global tetapi Kanada telah terus bekerjasama dengan negeri AS mengenai isu iklim.
“Kami boleh menjadikan NAFTA lebih progresif dengan membawa perlindungan pekerja yang lebih kukuh ke dalam perjanjian,” kata Freeland dalam ucapannya, “dengan menyepadu peruntukan alam sekitar demi memastikan tidak ada negara NAFTA melemahkan perlindungan alam sekitar untuk menarik pelaburan, misalnya, dan ia menyokong sepenuhnya usaha untuk mengatasi perubahan iklim.”
Kepada wartawan, beliau mengakui: “Mengenai alam sekitar, bukan menjadi rahsia lagi kepada sesiapa bahawa Kanada mempunyai pandangan berlainan dengan AS mengenai langkah paling penting yang telah diambil oleh dunia apabila ia membabitkan usaha memerangi perubahan iklim, iaitu perjanjian Paris.”
Namun beliau menambah standard alam sekitar kedua-dua negara telahpun diperkukuhkan sejak perjanjian NAFTA asal pada 1994 dan pentadbiran Trump telah mengisyaratkan kepada Kanada hasratnya untuk terus bekerjasama untuk melindungi “alam sekitar bersama mereka.”
Freeland memetik perjanjian perdagangan bebas Kanada-EU yang berkuatkuasa pada 21 September dan termasuk satu bahagian mengenai perlindungan alam sekitar sebagai satu contoh untuk memodenkan hubungan perdagangan negara dengan AS dan Mexico. – AFP