Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanada sumbang penutup mulut, hidung N95

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Sebagai sebahagian daripada sokongan kerajaan Kanada kepada rakan-rakan kongsi ASEAN termasuk membantu kerajaan Negara Brunei Darussalam menangani penularan pandemik COVID-19 di Brunei, Kanada menyumbangkan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Dalam majlis penyampaian sumbangan derma yang berlangsung di Bilik Tetamu, Tingkat 3, Kementerian Kesihatan, sumbangan diterima oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman.

    Sumbangan berupa 120,000 keping penutup mulut dan hidung N95 telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Jeanette Stovel. Dalam temu bual ringkas bersama pihak media, PYT Jeanette Stovel menyatakan bahawa Kanada terus komited untuk bekerjasama dengan ASEAN dalam usaha menangani pandemik COVID-19.

    Beliau turut menyatakan bahawa usaha Negara Brunei Darussalam dalam menangani pandemik COVID-19 mendapat pujian daripada kerajaan Kanada serta amat kagum dengan usaha yang dilaksanakan di mana kehidupan masyarakat Brunei dapat kembali hampir seperti biasa dengan terus memberikan penekanan kepada amalan penjarakan fizikal.

    Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan bahawa semua harus memainkan peranan serta tidak mudah leka dalam sama-sama berhadapan dengan kehidupan dalam norma baharu pandemik COVID-19. Beliau juga berkata bahawa Kanada menerusi kerjasama dengan rakan-rakan ASEAN telah membantu dalam pembangunan kapasiti sekuriti kesihatan di rantau ASEAN termasuk ASEAN Emergency Operations Center Network dan ASEAN BioDiaspora Virtual Center di mana ia telah dapat mengukuhkan lagi keupayaan rantau berkenaan untuk menangani pandemik COVID-19.

    PYT Jeanette Stovel (kiri) menyerahkan sumbangan daripada kerajaan Kanada berupa 120,000 keping penutup hidung dan mulut jenis N95 yang diterima oleh Haji Abdul Manap semasa Majlis Penyampaian Sumbangan PPE kepada Kementerian Kesihatan yang berlangsung di Bangunan Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    PYT Jeanette Stovel turut berkata bahawa menerusi Weapons Threat Reduction Program (WTRP) Kanada, negara berkenaan telah dapat menyumbangkan sebanyak 690,000 barangan PPE kepada enam buah negara anggota ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam serta kepada Sekretariat ASEAN.

    WTRP juga telah bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN dan negara-negara anggotanya sejak 2013 untuk mengurangkan ancaman biologi. Kerjasama itu telah menghasilkan dapatan yang signifikan dan meningkatkan kapasiti rakan-rakan kongsi ASEAN dalam mencegah, mengesan dan memberikan respons kepada semua jenis ancaman biologi.

    Pada masa yang sama, Kanada juga menyediakan pembiayaan sebanyak $5.13 juta kepada International Atomic Energy Agency bagi menyokong penyediaan kit diagnosis COVID-19, peralatan dan latihan dalam teknik pengesanan berasal dari nuklear serta memberikan komitmen sebanyak $61.6 juta kepada Coalition for Epidemic Preparedness Innovations bagi menyokong pembangunan dan penyelidikan vaksin COVID-19.

    Sumbangan berkenaan merupakan usaha untuk sama-sama memberikan sokongan dan membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani serta membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda