Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanada tewaskan Itali di Piala Davis

    PARIS, 14 SEPT – Kanada memulakan pertahanan kejuaraan mereka dengan mengalahkan Itali ketika Great Britain mengecewakan Australia pada hari kedua aksi peringkat kumpulan akhir Piala Davis, kelmarin.

    Republik Czech memenangi perlawanan menentang pasukan Sepanyol yang kehilangan pemain nombor dua dunia, Carlos Alcaraz, manakala juara beregu lelaki Terbuka Amerika Syarikat (AS), Rajeev Ram membantu pasukan AS menewaskan Croatia.

    Dua pasukan teratas daripada setiap pusingan empat kumpulan 16 pasukan akan mara ke peringkat kalah mati di Sepanyol pada November.

    Kanada kekal di landasan untuk mara ke perlawanan akhir di Malaga bulan depan hasil kemenangan straight set dalam perseorangan pembukaan oleh Alexis Galarneau dan kemudian Gabriel Diallo.

    Galarneau dan Vasek Pospisil kemudian meraih kemenangan 6-7 (4/7), 6-4, 7-6 (7/3) ke atas Matteo Arnaldi dan Simone Bolelli untuk menewaskan Itali 3-0 di Bologna.

    Kanada cuba menjadi negara pertama dalam sedekad untuk memenangi kejohanan itu berturut-turut.

    Negara terakhir yang mencapai kejayaan itu, Republik Czech pada 2012-2013, mengeksploitasi ketiadaan Alcaraz di Valencia untuk menewaskan Sepanyol 3-0 dan menyertai Serbia di tangga teratas Kumpulan C.

    Di Manchester, kapten Great Britain, Leon Smith mengambil risiko untuk memilih Jack Draper dan Dan Evans berbanding pemain tunggal terbaiknya, Cameron Norrie atau pemain veteran yang berpengalaman, Andy Murray kerana pemain perseorangannya mencatat prestasi yang cemerlang.

    Pemain pertama Piala Davis, Draper, yang berjaya mara ke pusingan keempat Terbuka AS, membalas kepercayaan Smith dengan kemenangan 6-7 (6/8), 6-3, 7-6 (7/4) ke atas Thanasi Kokkinakis. – AFP

    Aksi Alexis Galarneau dan Vasek Pospisil semasa perlawanan tenis peringkat kumpulan Piala Davis di Arena Unipol, Bologna, Itali pada 13 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda