MOSCOW, 7 MAC – Kanada akan meningkatkan kehadiran tenteranya di rantau Artik dengan menubuhkan Hab Sokongan Operasi Utara baharu, menurut kenyataan kementerian pertahanan negara itu yang dipetik Sputnik/RIA Novosti.
“Hari ini, Yang Berhormat Bill Blair, Menteri Pertahanan Negara, mengumumkan Iqaluit, Inuvik dan Yellowknife sebagai lokasi Hab Sokongan Operasi Utara. Ini akan meningkatkan kehadiran dan keupayaan tindak balas Angkatan Bersenjata Kanada di seluruh Artik dan Utara,” menurut kenyataan kementerian itu kelmarin.
Kanada akan memperuntukkan AS$2.67 bilion dalam tempoh 20 tahun bagi ‘menubuhkan rangkaian Hab Sokongan Operasi Utara’ sebagai sebahagian daripada dasar pertahanan yang diperbaharui, menurut kenyataan itu.
“Hab ini, yang merangkumi landasan kapal terbang, kemudahan logistik dan peralatan, akan membolehkan Angkatan Bersenjata Kanada menegakkan kedaulatan negara dengan lebih berkesan serta menyokong kehadiran sepanjang tahun,” menurut kenyataan itu lagi.
Inisiatif itu memperkenalkan pendekatan baharu terhadap pertahanan dan kelestarian di Artik serta wilayah utara, bertujuan meningkatkan keselamatan Kanada dalam menghadapi perubahan besar dari segi persekitaran dan keselamatan, kata kementerian itu. – Bernama
