WASHINGTON, 27 OGOS – Kerajaan Kanada kelmarin mengumumkan ia akan mengenakan cukai tambahan 100 peratus ke atas import kenderaan elektrik (EV) buatan China dan cukai tambahan 25 peratus ke atas keluli dan aluminium China yang diimport, lapor United Press International (UPI).
Kerajaan berkata cukai tokok EV akan bermula 1 Oktober, yang akan dikenakan sebagai tambahan kepada tarif negara sebanyak 6.1 peratus yang kini dikenakan kepada kenderaan keluaran China yang diimport ke Kanada.
“Kami mengubah sektor automotif Kanada menjadi peneraju global dalam pembinaan kenderaan masa depan,” kata Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pada sidang akhbar, kelmarin.
“Tetapi pihak seperti China telah memilih untuk memberikan diri mereka kelebihan yang tidak adil dalam pasaran global,” tambahnya.
Presiden Persatuan Pengeluar Alat Ganti Automotif, Flavio Volpe mendesak penggubal undang-undang Kanada untuk mengenakan tarif tinggi kepada EV China seperti Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata tarif adalah wajar kerana perniagaan China melanggar peraturan.
Presiden AS, Joe Biden pada bulan Mei mengumumkan tarif baharu atas kira-kira AS$18 bilion EV China yang diimport yang sepatutnya memasuki pasaran AS dengan harga yang lebih murah berbanding EV yang dihasilkan di Amerika, meskipun mendapat bantahan dari Beijing.
Langkah itu juga menaikkan tarif ke atas EV kepada 100 peratus, meningkat daripada 25 peratus. – Bernama
