Monday, April 14, 2025
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanak-kanak 10 tahun maut dalam insiden kebakaran

    SINGAPURA, 8 APRIL – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun meninggal dunia selepas kebakaran berlaku di sebuah rumah kedai di River Valley Road, lokasi yang menempatkan kelas pendidikan dan pembangunan kanak-kanak, lapor CNA.

    Menteri Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam mengesahkan tragedi itu ketika berucap di Lapangan Terbang Changi untuk menyambut kepulangan pasukan penyelamat ‘Operasi Lionheart’ dari misi bantuan gempa bumi di Myanmar.

    Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa seramai 15 kanak-kanak dan lima dewasa dibawa ke hospital, manakala sekitar 80 orang dari premis terjejas dan kawasan berdekatan dipindahkan.

    SCDF menerima panggilan kecemasan pada 9:45 pagi berhubung kebakaran di No. 278 River Valley Road.

    Setibanya di lokasi, api sedang marak di tingkat dua dan tiga rumah kedai tiga tingkat itu, manakala beberapa individu dilaporkan terperangkap di tingkat tiga.

    Orang awam termasuk pekerja binaan bertindak pantas menggunakan perancah logam dan tangga bagi menyelamatkan mangsa, sebelum SCDF tiba dan membawa turun mereka yang masih terperangkap, menurut SCDF.

    Kebakaran berjaya dikawal dalam tempoh 30 minit menggunakan tiga semburan air tekanan tinggi.

    Punca kejadian masih dalam siasatan.

    “Kami merakamkan penghargaan kepada orang awam yang tampil membantu menyelamatkan mangsa dalam situasi kritikal ini. Keberanian dan tindakan pantas mereka amat dihargai,” menurut SCDF. – Bernama

    Premis rumah kedai yang terjejas akibat kebakaran di River Valley Road. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda