Kanak-kanak 12 tahun ke atas dijangka divaksin hujung tahun ini

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Program vaksinasi bagi kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas dijangka akan dimulakan pada penghujung tahun ini setelah Brunei menerima vaksin Pfizer BioNTech.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab persoalan semasa sidang media mengenai hasrat negara untuk mencapai 70 peratus penduduk mendapat vaksin sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Ketika ditanya mengenai peratusan kanak-kanak, golongan yang mengalami komplikasi kesihatan yang tidak dapat menerima vaksin, Yang Berhormat Dato menjelaskan bilangannya hanya sedikit dan mungkin di bawah 20 peratus.

Sementara bagi mereka yang mempunyai alahan tetapi berhasrat untuk mendapatkan vaksin mereka boleh mendapatkan suntikan yang akan dilakukan di kawasan atau keadaan yang terkawal seperti di hospital dan sebagainya.

“Ada juga individu yang ditangguhkan untuk mendapatkan vaksin atas beberapa masalah terutama pesakit yang membuat rawatan kanser seperti kemoterapi dan sebagainya tetapi jumlah peratus dalam golongan ini juga adalah kecil,” jelasnya.