KUALA LUMPUR, 8 MAC – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah flat di Cheras, Malaysia, petang kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Ridzuan Khalid berkata mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di atas rumput di bawah blok bangunan flat perumahan berkenaan oleh orang ramai pada 1:52 petang.
Beliau berkata mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang tiba di tempat kejadian bersama pasukan polis.
“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah ditemukan dalam insiden yang berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Ridzuan berkata siasatan lanjut berhubung kes berkenaan akan diteruskan. – Bernama










