KUALA LUMPUR, 4 SEPT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera digigit anjing ketika menunggang basikal di jalan berhampiran kawasan rumahnya di Batu 9, Cheras, Selangor kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Naazron Abdul Yusof berkata kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang apabila anjing yang berada di kawasan berkenaan menyerang dan menggigit mangsa.
“Tindakan pantas beberapa jiran yang datang membantu berjaya menghalau anjing berkenaan. Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala telah dikejarkan ke hospital sejurus selepas itu dan kini dirawat di wad kanak-kanak Hospital Kajang serta berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata susulan kejadian itu, anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah menangkap anjing tersebut dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada anjing itu berdaftar sebagai haiwan peliharaan atau sebaliknya.
“Polis turut mengingatkan orang ramai yang ingin memelihara anjing supaya mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan dan memastikan haiwan peliharaan dikawal rapi bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang,” katanya.
Sementara itu, seorang saksi kejadian Mohd Firdaus Md Isa berkata sebelum kejadian anjing berkenaan kelihatan berada di bawah sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan.
“Ketika kanak-kanak itu yang sedang menunggang basikal menghampiri kereta berkenaan, secara tiba-tiba anjing itu keluar dan menyerangnya,” katanya kepada Bernama malam tadi.
Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan seorang kanak-kanak diserang anjing di kawasan perumahan sebelum dibantu oleh beberapa individu berada di situ. – Bernama


