Friday, March 14, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanak-kanak bawah 8 tahun tidak digalakkan minum slushy

    LONDON, 13 MAC – Kanak-kanak bawah lapan tahun tidak digalakkan mengambil minuman ais kisar (slushy) yang mengandungi gliserol, susulan beberapa kes kemasukan ke hospital di United Kingdom dan Ireland, menurut penyelidik.

    Minuman slushy tidak digalakkan untuk kanak-kanak bawah 8 tahun. – Getty Image

    Minuman berwarna terang yang sering dijual kepada kanak-kanak itu menggunakan gliserol sebagai pemanis dan agen anti-pembekuan.

    Namun, kandungan gliserol yang tinggi boleh memberi kesan buruk, terutamanya kepada kanak-kanak, kerana ia boleh menyebabkan kejutan, tahap gula dalam darah rendah dan kehilangan kesedaran.

    Dalam kajian perubatan yang diterbitkan dalam jurnal Archives of Disease in Childhood pada Selasa, penyelidik meneliti peningkatan kes kebelakangan ini di UK dan Ireland, serta mencadangkan agar kanak-kanak bawah lapan tahun mengelakkan minuman tersebut sepenuhnya.

    Pakar perubatan meneliti rekod 21 kes kanak-kanak berumur dua hingga tujuh tahun yang mengalami masalah kesihatan selepas minum slushie.

    Sebilangan besar kes berlaku antara 2018 dan 2024, dengan ramai kanak-kanak mengalami simptom akut dalam tempoh satu jam selepas pengambilan.

    Kebanyakan kanak-kanak hilang kesedaran, mengalami tahap keasidan darah tinggi serta paras gula rendah, manakala empat kanak-kanak memerlukan imbasan otak dan seorang mengalami sawan.

    Bagaimanapun, kesemua kanak-kanak pulih sepenuhnya, menurut penyelidik.

    Mesin slushy dicipta di Amerika Syarikat pada 1950an dan tidak semua minuman itu mengandungi gliserol, kerana gula juga boleh digunakan sebagai bahan anti-pembekuan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda