GENEVA, 28 OGOS – Semua kanak-kanak berhak menikmati persekitaran yang bersih dan sihat, kata jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) buat kali pertama hari ini, menyokong hujah golongan muda untuk menyaman pihak berkuasa kerana kesan perubahan iklim yang membawa kemusnahan.
Dengan mengeluarkan tafsiran baharu terhadap perjanjian hak antarabangsa yang penting, badan pemantau PBB memutuskan bahawa perjanjian tersebut menjamin hak kanak-kanak untuk mendapatkan persekitaran yang sihat.
Ia bermakna negara bertanggungjawab untuk menangani masalah seperti pencemaran dan perubahan iklim, menurut badan tersebut.
“Negara-negara perlu memastikan persekitaran yang bersih, sihat dan mampan bagi menghormati, melindungi dan memenuhi hak kanak-kanak,” kata Jawatankuasa Hak Kanak-kanak itu.
“Kemerosotan alam sekitar, termasuk akibat daripada krisis iklim, memberi kesan buruk kepada hak-hak tersebut,” tambahnya.
Ditugaskan untuk memantau pelaksanaan Konvensyen Hak Kanak-kanak, kumpulan yang terdiri daripada 18 pakar panel bebas itu memberikan tafsiran baharu terhadap perjanjian itu, yang mengambil kira hampir kesemua negara di dunia sebagai pihak-pihak yang terlibat. – AFP


