Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Bersempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, dengan kerjasama Unit Pendidikan Khas (UPK), Kementerian Pendidikan telah meraikan seramai 110 orang anak-anak berkeperluan khas pada majlis berbuka puasa di restoran hotel berkenaan.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Abdul Razak Holdings dan Pengarah Hotel Antarabangsa Rizqun, Haji Awang Suhaimei bin Haji Awang Besar, Haji Awang Mohamad bin Awang Mohd Yussuf dan Awang Matussin bin Haji Mahmud; Pemangku Pengarah di UPK, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor serta para pegawai dan kakitangan UPK.
Selain menikmati juadah berbuka puasa yang disediakan, anak-anak dari beberapa buah sekolah di sini dan Tutong itu turut dihiburkan dengan persembahan tausyeh dari Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Majeedah Nuurul Bolkiah, Kampung Kilanas sebelum berbuka.
Jurucakap UPK ketika ditemui telah menyampaikan rasa penghargaan pihak mereka atas kepercayaan Rizqun untuk mengadakan majlis berkenaan.


Jelasnya lagi, pada tahun ini, ia diadakan dalam jumlah yang lebih besar dengan menjemput anak-anak yang berkeperluan khas dari beberapa buah sekolah
Dalam pada itu, sepanjang bulan Ramadan ini, Rizqun Coffee House turut menyediakan Bufet Ramadan Kareem yang menyajikan pelbagai juadah seperti bubur kacang, roti canai, nasi, mi goreng, ayam goreng, daging, sate, kuih-muih, buah-buahan dan hidangan pencuci mulut.
Di samping itu, para pelanggan juga berpeluang untuk memenangi baucar penginapan di bilik Deluxe Hotel Antarabangsa Rizqun termasuk sarapan pagi untuk dua orang dalam cabutan mingguan dan tiket umrah untuk dua orang sebagai cabutan utama nanti.
Sebelum majlis bersurai, ahli-ahli lembaga pengarah Hotel Antarabangsa Rizqun menyampaikan sumbangan berupa kewangan kepada anak-anak yang berkeperluan khas berkenaan.