Monday, July 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanak-kanak cedera diserang ikan jerung ketika mandi

    PAPEETE, 27 JULAI — Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun cedera selepas diserang ikan jerung ketika mandi di perairan Polinesia Perancis, menurut jabatan bomba kepada AFP kelmarin.

    Insiden berlaku pada Jumaat di Teluk Taiohae, pulau utama Nuku Hiva dalam gugusan Kepulauan Marquesas, ketika kira-kira 10 kanak-kanak sedang bermain dan terjun ke dalam laut. Seekor jerung tiba-tiba menyerang salah seorang daripada mereka, menggigit lengan dan kaki mangsa.

    “Saya sudah berusia 35 tahun dan ini kali pertama saya menyaksikan kejadian seperti ini. Luka mangsa panjang dan dalam,” kata salah seorang anggota bomba yang memberi bantuan awal kepada kanak-kanak itu.

    Beliau percaya kehadiran jerung berkait dengan sisa bangkai ikan yang dibuang oleh nelayan di kawasan itu, menarik pelbagai spesies jerung termasuk jerung blacktip, hammerhead dan lemon shark. Kenyataan itu turut disahkan oleh saluran TV tempatan, TNTV.

    Mangsa dikejarkan ke hospital kecil di pulau berkenaan sebelum diterbangkan ke pusat hospital utama di Tahiti, yang terletak kira-kira 1,500 kilometer dari Nuku Hiva.

    Serangan jerung jarang berlaku di Polinesia Perancis dan lazimnya melibatkan penyelam atau individu yang memberi makan jerung merupakan sesuatu yang diharamkan di wilayah itu. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda