MOSCOW, 11 JUN – Perancis akan melarang akses media sosial kepada kanak-kanak bawah di umur 15 tahun dan memperketat peraturan penjualan senjata tajam kepada golongan bawah umur, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan perkara itu susulan insiden seorang remaja menikam seorang pekerja sekolah hingga mati kelmarin.
“Kita mesti melarang akses media sosial kepada kanak-kanak bawah umur 15 tahun. Saya beri tempoh beberapa bulan untuk Eropah bertindak. Jika tidak, kita akan mulakan pelaksanaan di Perancis. Kita tidak boleh tunggu,” katanya kepada penyiar France 2.
Pada April lepas, bekas Perdana Menteri Perancis, Gabriele Attal mencadangkan larangan akses media sosial kepada kanak-kanak bawah umur 15 tahun serta menyekat akses pada waktu malam bagi remaja sebagai sebahagian daripada langkah radikal menangani ketagihan internet.
Macron turut berjanji untuk mengawal selia penjualan senjata tajam dengan lebih baik, termasuk secara dalam talian.
Perdana Menteri Francois Bayrou berkata menerusi media sosial bahawa ancaman senjata tajam kini berada pada tahap kritikal dan berikrar untuk “menjadikan wabak yang semakin berleluasa itu diisytihar sebagai musuh awam.”
“Kita akan perketatkan peraturan. Ini bermakna kita akan memperkenalkan sekatan kewangan meluas dan larangan. – Bernama
