Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanak-kanak dicari di Turkiye ditemui tidak bernyawa

    ANKARA, 9 SEPT – Mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang hilang di Turkiye selama 19 hari telah ditemui selepas pencarian besar-besaran, kata menteri dalam negeri, kelmarin.

    Mayat Narin Guran ditemui dalam beg di sungai di wilayah tenggara Diyarbakir, sekitar satu kilometer dari kampung tempat dia tinggal bersama keluarganya, kata gabenor Diyarbakir Murat Zorluoglu kepada pemberita.

    “Malangnya, mayat Narin yang tidak bernyawa, yang hilang di kampung Tavsantepe… telah ditemui,” tulis menteri dalam negeri Turkiye, Ali Yerlikaya di platform X.

    Dia mula hilang pada 21 Ogos, mencetuskan usaha pencarian besar-besaran di Turkiye, dengan beberapa tokoh terkenal menyertai kempen media sosial yang dipanggil ‘Cari Narin’.

    “Narin Guran ditemui meninggal dunia memakai pakaian yang sama seperti kali terakhir dia dilihat,” kata Zorluoglu.

    “Berdasarkan pemerhatian pertama, dia dimasukkan ke dalam beg selepas dibunuh. Beg itu kemudian diletakkan di dalam sungai, disorokkan di bawah dahan dan batu supaya tidak menimbulkan syak wasangka,” tambahnya.

    Pendakwa raya Diyarbakir telah menahan 21 orang, kata Menteri Kehakiman Yilmaz Tunc.

    Ibu bapa Narin dan abang sulungnya adalah antara yang dibawa untuk disoal siasat, menurut saluran berita Turkiye, NTV.

    Bapa saudara kanak-kanak perempuan itu ditahan minggu lalu kerana disyaki membunuh dan ‘pencabulan kebebasan’. – AFP

    Penunjuk perasaan memegang potret Narin Guran, yang mayatnya ditemui selepas hilang selama 19 hari, semasa protes di daerah Kadikoy di Istanbul, pada 8 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda