Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanak-kanak dua tahun maut diserang anjing

    VALDOSTA, 8 OKT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas diserang dua ekor anjing baka Rottweiler di sebuah pusat jagaan tanpa lesen di selatan Georgia, Amerika Syarikat, ketika pemiliknya sedang tidur, menurut polis.

    Stacy Wheeler Cobb, 48 tahun, pemilik pusat jagaan berkenaan yang mengendalikan perkhidmatan tersebut di rumahnya di Valdosta, kira-kira 367 kilometer ke selatan Atlanta, telah didakwa atas tuduhan membunuh darjah kedua dan penganiayaan kanak-kanak darjah kedua, menurut rekod penjara.

    Menurut Jabatan Polis Valdosta, Cobb meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan selama lebih dua jam pada Sabtu lalu. Mereka percaya mangsa telah masuk ke halaman belakang rumah dan membuka sangkar yang menempatkan dua ekor anjing Rottweiler. Kedua-dua anjing tersebut kemudian menyerang kanak-kanak itu hingga menyebabkan kematian, seperti yang digambarkan dalam rakaman kamera yang dikongsi ibunya melalui laman GoFundMe.

    Polis tiba di lokasi kejadian sekitar jam 3:45 petang dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Menurut polis, kanak-kanak itu merupakan satu-satunya yang berada di pusat jagaan ketika itu, walaupun biasanya terdapat sekitar 10 orang kanak-kanak. Cobb kini ditahan di Penjara Daerah Lowndes. Rekod penjara tidak menunjukkan sama ada Cobb mempunyai peguam yang boleh mewakilinya.

    Kempen GoFundMe yang dimulakan oleh ibu mangsa, Adrianna Jones, mengenal pasti kanak-kanak itu sebagai Kaimir Jones. Jones, seorang ibu tunggal, berkata beliau berasa tidak sedap hati selepas Cobb tidak memberikan sebarang maklum balas selama tiga jam, sedangkan biasanya pemilik itu akan berhubung sepanjang hari. ‘Gerak hati’ mendorongnya untuk pulang awal dari tempat kerja.

    “Ini adalah satu pengalaman yang menyayat hati, menghancurkan perasaan dan sangat traumatik. Saya tidak mahu sesiapa pun melalui perkara sebegini,” tulis Jones.

    Dua ekor anjing Rottweiler serta seekor anjing ketiga di rumah tersebut telah diambil oleh Unit Kawalan Haiwan Daerah Lowndes.

    Jabatan Polis Valdosta dalam kenyataan dalam talian memaklumkan siasatan masih dijalankan dan pertuduhan tambahan dijangka menyusul.

    “Ini adalah tragedi yang tidak sepatutnya berlaku. Namun akibat kelalaian individu ini, seorang ibu telah kehilangan anaknya dengan begitu menyedihkan,” kata Ketua Polis Valdosta, Leslie Manahan. – AP

    Gambar Fail Freepik.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda