Saturday, July 26, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanak-kanak Gaza hadapi malnutrisi tahap ‘malapetaka’

    HAMILTON, 24 JULAI – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kelmarin bahawa kanak-kanak di Semenanjung Gaza sedang menghadapi kebuluran dan kekurangan zat makanan pada tahap ‘malapetaka’, ketika pihak berkuasa Israel terus menyekat penghantaran bantuan ke wilayah yang terkepung itu, lapor Anadolu Ajansi,

    “Malnutrisi yang membawa maut dalam kalangan kanak-kanak kini mencapai tahap malapetaka,” kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric pada sidang media, sambil menambah bahawa, “UNICEF mengingatkan kita bahawa kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan teruk adalah lebih 10 kali ganda berisiko untuk meninggal dunia berbanding kanak-kanak yang sihat.”

    Dujarric menegaskan bahawa operasi kemanusiaan PBB di Gaza berada di bawah tekanan hebat dengan pekerja bantuan menghadapi risiko keselamatan, lintasan sempadan yang disekat serta bekalan kritikal yang dilewatkan atau dinafikan kemasukan.

    “Kami bersedia untuk merebut peluang gencatan senjata bagi meningkatkan operasi kemanusiaan secara besar-besaran di seluruh Semenanjung Gaza,” katanya sambil menekankan bahawa, “Israel mesti benarkan penghantaran bantuan secara selamat dan tanpa halangan serta benarkan kemasukan peralatan kritikal dan bahan api” bagi membuat perubahan sebenar di lapangan.

    Beliau turut menggesa agar, “semua lintasan dibuka dan pergerakan di sepanjang laluan bekalan utama dipulihkan”, dan memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dengan berkata: “Kami dan rakan kongsi kami melaporkan bahawa pekerja bantuan pengsan akibat kelaparan dan keletihan.”

    “Kebuluran besar-besaran kini merebak di seluruh Semenanjung Gaza, dengan rakan sekerja dan mereka yang dibantu menjadi semakin lemah,” kata Dujarric.

    Beliau turut menyampaikan amaran daripada Tabung Penduduk PBB (UNFPA) berhubung krisis kesihatan yang semakin meruncing melibatkan wanita hamil dan anak damit baru lahir di Gaza, berikutan kelumpuhan sistem penjagaan kesihatan dan peningkatan mendadak dalam kematian ibu bersalin.

    “Dari Januari hingga Jun tahun ini, kadar kelahiran menurun secara mendadak, dan seramai 220 ibu meninggal dunia mencatatkan lebih 20 kali ganda jumlah kematian ibu bersalin yang direkodkan pada 2022. Sekurang-kurangnya 20 anak damit  baru lahir meninggal dunia dalam tempoh 24 jam selepas dilahirkan, dan satu pertiga daripadanya dilahirkan pramatang, kurang berat badan atau memerlukan rawatan rapi neonatal,” katanya.

    Dujarric menegaskan bahawa walaupun pekerja kemanusiaan terus menyalurkan bantuan menyelamatkan nyawa, kawalan Israel terhadap kemasukan bantuan kekal menjadi halangan utama.

    Beliau mengulangi gesaan PBB untuk gencatan senjata serta-merta, sambil menambah: “Apa yang paling penting, kita memerlukan gencatan senjata untuk menamatkan situasi yang dahsyat ini.” – Bernama/Anadolu

    Seorang ibu menggendong anaknya yang kekurangan zat makanan di rumah yang rosak di kem pelarian Al-Shati, Gaza kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda