NUSEIRAT, WILAYAH PALESTIN, 2 NOV – Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengumumkan minggu ini bahawa berikutan gencatan senjata di Gaza, beberapa sekolah di wilayah itu telah dibuka semula, dengan kanak-kanak kembali bersekolah secara berperingkat.
Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, dalam hantaran di platform X pada Selasa lalu memaklumkan lebih 25,000 murid telah menyertai ‘ruang pembelajaran sementara’ anjuran agensi itu, manakala kira-kira 300,000 murid lagi akan mengikuti pembelajaran dalam talian.
Di Sekolah Al Hassaina di barat Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza, sesi pembelajaran disambung semula kelmarin walaupun berdepan kekurangan bilik darjah.
Warda Radwan, pelajar berusia 11 tahun, meluahkan rasa teruja untuk kembali ke rutin pembelajarannya.
“Saya kini berada di Tahun 6, tetapi saya terlepas dua tahun persekolahan akibat perpindahan dan peperangan,” katanya kepada AFP.
Radwan menjelaskan sesi pembelajaran ‘bermula secara perlahan-lahan’ selaras dengan pengosongan sekolah daripada keluarga pelarian. – AFP


