HARARE, 3 JAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui hidup selepas dilaporkan hilang selama lima hari di kawasan simpanan liar yang menjadi habitat singa dan haiwan lain di utara Zimbabwe, menurut pihak berkuasa hidupan liar hari ini.
Kanak-kanak itu, Tinotenda Pundu, tersesat ke Taman Negara Matusadona berhampiran kampungnya pada 27 Disember lalu. Dia ditemui kira-kira 50 kilometer dari kampungnya, lima hari selepas dilaporkan hilang, kata jurucakap ZimParks, Tinashe Farawo.
Dalam kenyataan, Farawo berkata kanak-kanak itu bertahan dengan memakan buah liar dan mendapatkan air dengan menggali tebing sungai, satu teknik yang lazim digunakan di kawasan terdedah kepada kemarau di Zimbabwe.
“Luar biasa, kanak-kanak itu dipercayai berjalan sejauh 49 kilometer melalui kawasan lasak yang dipenuhi singa di Taman Negara Matusadona sebelum dia ditemui,” kata Farawo.
Operasi mencari dan menyelamat melibatkan renjer, penduduk kampung dan polis dilancarkan sebaik sahaja kehilangannya dilaporkan. Namun, usaha itu terganggu oleh hujan lebat. Jejak kakinya ditemui pada 30 Disember, sebelum dia berjaya ditemui pada pagi keesokan harinya, tambah Farawo.
Ahli Parlimen kawasan tersebut, Mutsa Murombedzi memaklumkan kanak-kanak itu dimasukkan ke hospital dalam keadaan lemah, tetapi tidak mengalami kecederaan serius.
“Ia adalah satu keajaiban dia berjaya bertahan,” katanya kepada AFP.
“Dia cukup bijak untuk tidur di atas batu tinggi bagi mengelakkan ancaman singa dan haiwan liar lain,” tambahnya. – AFP