SOUTHPORT, UNITED KINGDOM, 30 JULAI – Kanak-kanak ketiga meninggal dunia hari ini dan lima yang lain masih cedera parah selepas serangan pisau ke atas acara tarian bertemakan Taylor Swift dalam komuniti tepi pantai di utara England, kata polis.
Kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun itu meninggal dunia di hospital awal hari ini, kata Polis Merseyside, ketika pasukan itu mengesahkan bahawa dua mangsa yang maut dalam kejadian tikaman ‘ganas’ kelmarin juga budak perempuan, berusia enam dan tujuh tahun.
Lapan kanak-kanak lain mengalami luka tikaman semasa serangan di Southport, berhampiran Liverpool, yang telah mengejutkan UK dan luar negara. Dua orang dewasa juga berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami kecederaan.
Seorang suspek lelaki berusia 17 tahun dari kampung berhampiran yang ditahan sejurus selepas kejadian itu kekal dalam tahanan, tambah polis, sambil memberi amaran supaya tidak membuat spekulasi mengenai identitinya atau butiran siasatan.
Beberapa jam sebelum itu, bintang pop Amerika Syarikat, Swift berkata di media sosial bahawa dia ‘benar-benar terkejut’ dengan ‘pembunuhan orang tidak bersalah, dan trauma ngeri yang menimpa semua orang.’
“Mereka hanyalah kanak-kanak kecil di kelas tarian. Saya benar-benar bingung bagaimana menyampaikan rasa simpati saya kepada keluarga-keluarga ini,” tambahnya di Instagram. – AFP
