Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kanak-kanak laku kerja menjerihkan demi sesuap nasi

    KABUL, AFGHANISTAN – Nabila bekerja 10 jam atau lebih sehari, melakukan kerja-kerja berat dan kotor mengisi acuan dengan lumpur dan menolak kereta sorong sarat dengan bata. Pada usia 12 tahun, dia telah bekerja di kilang bata hampir separuh daripada usianya, dan dia mungkin pekerja paling tua berbanding rakan sekerjanya.

    Jumlah kanak-kanak yang bekerja di Afghanistan semakin meningkat, didorong oleh kejatuhan ekonomi selepas Taliban mengambil alih kuasa dan dunia memutuskan bantuan kewangan setahun lalu. Satu tinjauan terbaharu oleh pertubuhan Save the Children menganggarkan separuh daripada keluarga di negara itu telah menghantar anak mereka bekerja di kilang-kilang untuk memastikan mereka tidak kelaparan.

    Mereka bekerja di kebanyakan kilang bata di lebuh raya di utara ibu negara Kabul. Keadaan di tanur adalah sukar walaupun bagi orang dewasa. Dalam kalangan mereka, kanak-kanak berusia empat atau lima tahun kelihatan bekerja bersama keluarga mereka dari awal pagi sehingga malam.

    Budak berkenaan terbabit dalam setiap proses pembuatan bata. Mereka menarik kanister air, membawa acuan bata kayu yang penuh dengan lumpur untuk dikeringkan di bawah cahaya mata hari. Mereka memunggah dan menolak kereta sorong yang dipenuhi bata kering ke tanur untuk dibakar, seterusnya menolak kembali kereta sorong yang diisi bata yang sudah dibakar. Mereka mengasing-asingkan arang membara yang telah dibakar dalam tanur yang masih boleh digunakan sambil menyedut jelaga.

    Kanak-kanak bekerja dengan penuh keazaman demi memenuhi keperluan keluarga. Apabila ditanya mengenai barang mainan atau aktiviti lain, mereka hanya tersenyum. Hanya beberapa kanak-kanak yang pernah pergi ke sekolah.

    Kanak-kanak Afghan bekerja di sebuah kilang bata di pinggir bandar Kabul, Afghanistan. – AFP
    Kanak-kanak Afghan yang bekerja di kilang bata bergambar di pinggir bandar Kabul. – AP
    Seorang budak perempuan berusia 4 tahun tidur selepas bekerja di kilang bata di Kabul. – AP

    Seorang budak perempuan berusia 9 tahun bekerja di kilang bata di Kabul, Afghanistan. – AP

    Nabila, 12, telah bekerja di kilang bata sejak berusia lima atau enam tahun. Seperti kebanyakan pekerja bata lain, keluarganya bekerja di sebuah tanur berhampiran Kabul.

    Beberapa tahun lalu, dia berpeluang pergi ke sekolah di Jalalabad. Dia teringin kembali ke sekolah tetapi tidak dapat kerana keluarganya memerlukannya bekerja demi kelangsungan hidup, katanya sambil tersenyum.

    “Kami tidak mampu memikirkan apa-apa kecuali kerja.” Mohannat, 9 tahun, berhenti sejenak dengan air muka keletihan ketika dia memikul beban arang. “Belakang saya sakit,” kata budak lelaki itu. Ketika ditanya mengenai cita-citanya, dia menjawab, “Apa itu cita-cita?” Selepas diberikan penjelasan, dia diam seketika sambil berfikir. “Saya ingin pergi ke sekolah dan memakan makanan yang enak,” katanya. “Saya mahu bekerja keras supaya kami boleh memiliki sebuah rumah.”

    Suasana di kilang kelihatan suram, dengan cerobong asap relau mengeluarkan asap hitam berjelaga. Keluarga tinggal dalam rumah lumpur usang bersebelahan relau, setiap satu dengan ruang di mana mereka menghasilkan bata. Bagi kebanyakan orang, makanan sehari adalah roti yang dicecah dalam teh.

    Rahim mempunyai tiga anak yang bekerja bersamanya di tanur bata, berusia dari 5 hingga 12 tahun. Mereka pernah pergi ke sekolah, dan Rahim memberitahu dia sebenarnya membantah mereka bekerja. Walaupun sebelum Taliban menerajui tampuk pemerintahan, ketika negara dibelenggu perang dan ekonomi bertambah buruk, dia berkata dia tidak mempunyai pilihan.

    “Tidak adanya cara lain,” katanya. “Bagaimana mereka boleh belajar apabila kami tidak mempunyai roti untuk makan? Kelangsungan hidup adalah lebih penting.”

    Pekerja menerima AS$4 untuk setiap 1,000 bata yang dihasilkan. Seorang dewasa sahaja tidak dapat memperoleh jumlah itu dalam sehari, tetapi jika kanak-kanak membantu, mereka boleh menghasilkan 1,500 bata sehari, kata pekerja.

    Menurut tinjauan yang dijalankan Save the Children, peratusan keluarga yang berkata mereka mempunyai anak yang bekerja meningkat daripada 18 peratus kepada 22 peratus dari Disember hingga Jun. Ia mencadangkan lebih daripada 1 juta kanak-kanak di seluruh negara yang bekerja. Tinjauan merangkumi lebih 1,400 kanak-kanak dan lebih daripada 1,400 penjaga di tujuh wilayah. Manakala 22 peratus kanak-kanak berkata mereka diminta bekerja di ladang atau perniagaan keluarga.

    Tinjauan juga menunjukkan keruntuhan mata pencarian telah dialami penduduk Afghan sejak setahun lalu. Pada Jun, 77 peratus daripada keluarga yang ditinjau melaporkan mereka telah kehilangan separuh atau lebih daripada pendapatan mereka berbanding setahun lalu, meningkat daripada 61 peratus pada Disember.

    Terbaharu ini di sebuah tanur, hujan renyai-renyai mula turun dan pada mulanya kanak-kanak kelihatan gembira, memikirkan hujan akan menyejukkan cuaca yang panas. Kemudian angin bertiup dan debu-debu mula berterbangan dan menutup muka mereka. Udara bertukar menjadi kuning disebabkan debu. Sesetengah kanak-kanak tidak dapat membuka mata mereka, namun mereka terus bekerja. Hujan renyai-renyai menjadi hujan lebat dalam sekelip mata.

    Kanak-kanak semuanya basah-kuyup. Seorang budak lelaki dihujani air dan lumpur, tetapi seperti pekerja lain, dia berkata dia tidak boleh mencari tempat teduh tanpa menyiapkan kerjanya. Aliran air hujan membentuk parit di sekeliling kilang.

    “Kami sudah biasa dengan keadaan ini,” katanya. Kemudian dia berpaling sambil memberitahu budak lain, “Ayuh, lekas siapkan kerja ini.” – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...