Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanak-kanak maut, 9 cedera kereta rempuh pusat jagaan

    RICHMOND HILL, Ontario — Seorang kanak-kanak maut apabila sebuah SUV merempuh tingkap sebuah pusat jagaan kanak-kanak di utara Toronto, sebelum waktu pengambilan pada hari Rabu.

    Polis Daerah York memaklumkan bahawa kanak-kanak lelaki tersebut baharu berusia 1 tahun setengah dan nnam lagi kanak-kanak yang berusia antara 18 bulan hingga 3 tahun turut cedera dalam kejadian tersebut.

    Manakala, seorang daripada mereka masih berada dalam keadaan kritikal beberapa jam selepas kejadian.

    Polis berkata dalam satu sidang media, bahawa tiga orang kakitangan juga cedera di pusat jagaan tersebut yang terletak berhampiran Yonge Street dan Nottingham Drive di Richmond Hill, Ontario.

    Polis menutup kawasan First Roots Early Education Academy selepas sebuah kenderaan merempuh masuk melalui tingkap. -AP

    Konstabel Kevin Nebrija memaklumkan bahawa pemandu lelaki berusia 70-an telah ditahan di tempat kejadian dan polis tidak percaya bahawa kejadian itu dilakukan dengan sengaja.

    “Ini adalah satu situasi yang sangat huru-hara, dan saya boleh katakan bahawa maklumat awal menunjukkan kenderaan tersebut berada di kawasan tempat letak kereta pada masa kejadian, dana sebab yang masih belum diketahui, kenderaan tersebut telah merempuh masuk melalui bahagian hadapan tingkap,” katanya.

    “Kami faham bahawa ini adalah berita yang amat membimbangkan untuk para ibu bapa terima, apatah lagi ketika mereka datang mengambil anak pada penghujung hari”.

    Beliau berkata, kesemua kanak-kanak telah dikenal pasti dan ibu bapa mereka telah dimaklumkan.

    Di lokasi kejadian pada awal petang, kelihatan kerusi kecil berwarna biru dan hijau di sebalik serpihan kaca dari tingkap hadapan yang pecah sepenuhnya, dan kereta-kereta peronda polis berada di kawasan tempat letak kereta.

    Nebrija berkata, semasa kejadian, terdapat seramai 96 kanak-kanak berada di pusat jagaan itu yang  ditempatkan dalam beberapa bilik berasingan dalam bangunan tersebut. – AP

    Polis mengutip kasut seorang kanak-kanak sebagai bahan bukti. – AP
    Keadaan tingkap pusat jagaan yang telah mengakibatkan seoran kanak-kanak maut. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda