LONDON, 7 JULAI – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun terbunuh dan beberapa yang lain cedera apabila sebuah kereta merempuh bangunan sekolah rendah di barat daya London kelmarin, mencetuskan tindak balas besar oleh perkhidmatan kecemasan.
Nahas di sekolah perempuan swasta Study Prep di Wimbledon itu tidak dianggap oleh polis sebagai berkaitan keganasan, dan pemandunya seorang wanita berusia 40an yang berhenti di tempat kejadian telah ditahan.
Dia ditahan kerana disyaki menyebabkan kematian dengan memandu secara berbahaya dan kini berada dalam tahanan, kata Polis Metropolitan London.
“Sangat menyedihkan, salah seorang kanak-kanak itu seorang budak perempuan berusia lapan tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Ketua Detektif, Superintenden Clair Kelland.
“Ini adalah masa yang sangat sukar untuk semua orang di sini di sekolah dan komuniti yang lebih luas,” katanya kepada wartawan di tempat kejadian.
John Martin, ketua paramedik di Perkhidmatan Ambulans London, berkata mereka mengisytiharkan insiden besar dan menghantar 15 ambulans, paramedik pakar penjagaan kritikal dan Ambulans Udara London.
Enam belas pesakit dirawat di tempat kejadian dan 10 dibawa ke hospital. Tiada maklumat terkini mengenai umur atau keadaan mereka.
Tetapi ahli parlimen tempatan Wimbledon, Stephen Hammond berkata beliau difahamkan beberapa mangsa telah ‘dirawat sebagai kritikal’. – AFP


