Friday, March 14, 2025
32.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanak-kanak merupakan 38% daripada mangsa pemerdagangan manusia global – PBB

    GENEVA, 13 MAC – Laporan terbaharu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin memberi amaran mengenai ‘peningkatan membimbangkan’ kadar pemerdagangan kanak-kanak, dengan golongan itu merupakan 38 peratus daripada jumlah mangsa pemerdagangan manusia di peringkat global, di tengah-tengah anggaran bahawa angka sebenar mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

    Menurut agensi berita Qatar (QNA), laporan tahunan Wakil Khas Setiausaha Agung mengenai keganasan terhadap kanak-kanak, yang dibentangkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia, menunjukkan peningkatan dalam peratusan mangsa dalam kalangan kanak-kanak sepanjang lima tahun lepas, terutama melibatkan kanak-kanak perempuan.

    Laporan itu memberi amaran bahawa jenayah itu akan terus meningkat jika tindakan segera dan tegas tidak diambil, sambil menekankan bahawa akses internet yang semakin meluas di peringkat global telah memburukkan lagi risiko eksploitasi oleh penjenayah untuk kegiatan pemerdagangan.

    Wakil Khas Setiausaha Agung, Dr Najat Maalla M’jid, menegaskan bahawa sindiket pemerdagangan manusia semakin menggunakan teknologi dan memanfaatkan situasi krisis, manakala tindak balas terhadap keganasan masih tidak mencukupi, justeru menyeru pelaburan lebih besar dalam sistem perlindungan sosial dan akauntabiliti undang-undang.

    Laporan itu menyoroti tiga faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan jenayah itu, iaitu peningkatan kerentanan kanak-kanak akibat kemiskinan dan konflik, pengembangan rangkaian pemerdagangan melalui teknologi, serta permintaan yang semakin meningkat terhadap eksploitasi kanak-kanak dalam pelbagai bentuk.

    Pegawai PBB itu turut menggesa tindak balas yang menyeluruh dan diselaraskan bagi menghapuskan pemerdagangan kanak-kanak menjelang 2030, sambil menekankan kepentingan melibatkan mangsa terselamat dan kanak-kanak yang berisiko dalam merangka penyelesaian secara selamat dan beretika. – Bernama 

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda