Thursday, March 13, 2025
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanak-kanak perempuan hilang dibawa lari pencuri kereta

    SHAH ALAM, 13 MAC – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila anak sulungnya berusia enam tahun dilarikan hampir 45 minit setelah keretanya dipercayai dicuri seorang lelaki dalam kejadian di sebuah taska di Setia Alam, Selangor kelmarin. 

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata dalam kejadian pada jam 6.55 pagi itu,  mangsa berusia 34 tahun sedang menguruskan anak keduanya di sebuah tadika dan meninggalkan anak sulung yang sedang tidur di dalam kereta dengan enjin masih hidup dan tidak berkunci. 

    Beliau berkata keadaan menjadi kelam-kabut apabila mangsa yang juga seorang guru tadika, menyedari keretanya telah tiada dengan kanak-kanak perempuan itu masih berada dalam kereta berkenaan. 

    “Polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian ini pada 7.06 pagi. Susulan itu usaha mengesan kereta mangsa giat dijalankan dan dengan bantuan orang awam, berjaya dijumpai semula pada 7.45 pagi. 

    “Anak mangsa juga dijumpai semula dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan bersama kereta yang dicuri berdekatan kawasan perumahan jenis pangsapuri yang jaraknya lebih kurang dua kilometer dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

    Mohd Iqbal berkata siasatan awal mendapati suspek seorang warga tempatan dipercayai berniat untuk mencuri kenderaan terbabit namun terkejut selepas mendengar tangisan anak mangsa lalu memberhentikan kereta tersebut sebelum melarikan diri. 

    “Suspek juga bertindak mengambil beg tangan milik mangsa yang mengandungi kad bank, dokumen pengenalan diri serta dua unit telefon bimbit bernilai lebih kurang RM2000,” katanya.  – Bernama

    Kanak-kanak perempuan alami detik cemas apabila dibawa lari pencuri kereta. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda