BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Lebih dari 90 anak-anak kakitangan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah mengambil bahagian dalam acara RB Arts N Crafts Day hari ini yang berlangsung di Sky Cafe, Kampus RB.
Acara tersebut dianjurkan untuk kanak-kanak yang berumur empat hingga 15 tahun yang bertujuan untuk memberi peluang kepada kakitangan RB melakukan aktiviti-aktiviti produktif untuk anak-anak mereka semasa cuti sekolah dan meluangkan masa bersama keluarga.
Selain itu, acara tersebut juga untuk mendedahkan kepada kanak-kanak mengenai pendidikan kreatif di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam keluarga RB.
Aktiviti merangkumi melukis dan seni kraftangan, sesi perjumpaan dengan juruterbang dan kru kabin, serta peluang untuk mengunjungi mock-up pesawat lama yang terletak di kampus berkenaan.
Peserta kanak-kanak RB juga diberi peluang apabila mereka pertama kali mengambil bahagian dalam pembuatan seni mural kreatif untuk memeriahkan lagi Kampus RB.
Berdasarkan inisiatif ini, RB berharap dapat memperluas projek tersebut di masa depan untuk anak-anak sekolah di Brunei memberi sumbangan kreativiti mereka dengan lukisan mural dan dipamerkan di Kampus RB, selain mendorong kreativiti dan memupuk minat anak-anak dalam industri penerbangan melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan.
