Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Kanak-kanak Syria dambakan pendidikan demi masa depan cerah

    DAMSYIK – Hiba Moussa, seorang pelajar Syria yang tinggal di sebuah pangsapuri yang belum siap di luar ibu kota bersama tujuh ahli keluarganya, sering terpaksa membuat kerja rumahnya pada waktu pagi kerana bekalan elektrik terputus di kawasan kejiranan miskin sepanjang malam.

    “Saya mahu terus belajar supaya apabila dewasa nanti saya mampu menyara ibu bapa dan menjadikan keadaan kami lebih baik daripada sekarang,” kata gadis berusia 14 tahun itu yang menuntut di tingkatan enam.

    Lapan tahun lalu ketika Syria sedang berperang, keluarganya melarikan diri dari bandar Manbij yang musnah di wilayah Aleppo untuk mencari kehidupan baharu di Jaramana, sebuah bandar tiga kilometer tenggara Damsyik. Mereka menyewa rumah dan membahagikan ruang untuk bilik tidur, ruang tamu, tempat belajar, bermain dan tidur. Muhammad Moussa iaitu bapa kepada Hiba hanya bekerja sebagai kuli.

    “Saya melakukan yang terbaik untuk memberi nafkah kepada anak-anak saya supaya mereka tetap boleh pergi ke sekolah dan mempunyai masa depan yang lebih baik,” katanya kepada Xinhua.

    Tangga luar yang belum siap membawa Muhammad masuk ke pangsapurinya yang berhias kertas dinding, di mana kusyen dan selimut adalah satu-satunya perabot di kedua-dua bilik yang tidak mempunyai sofa, kerusi mahupun katil.

    Muhammad Moussa (kiri) bercakap bersama anak-anaknya. – Xinhua
    Hiba Moussa (kiri) mengajar adik-beradiknya di rumah mereka di Jaramana, sebuah bandar tiga kilometer tenggara Damsyik, Syria. – Xinhua

    Hiba sedang membantu adik-adiknya membuat kerja rumah. Pada waktu lapang, mereka akan berlakon untuk menghiburkan diri, dan dia biasanya memilih watak sebagai guru.

    Sebagai anak yang lebih tua, Hiba dianggap sebagai harapan terbesar keluarga. Ibu bapanya berkata, anak perempuan mereka bukan sahaja berprestasi baik di sekolah malah sanggup membantu menjaga empat lagi anak mereka.

    Dia bukan satu-satunya anak dalam keluarga yang suka pergi ke sekolah.

    “Saya tidak bersekolah selama dua tahun kerana perang. Dan (ketika itu) saya banyak menangis kerana tidak dapat pergi ke sekolah.

    Ketika itulah ibu bapa saya memutuskan untuk berpindah dan datang ke sini untuk mendaftarkan saya di sekolah,” jelas adik lelaki Hiba, Abdul-Karim, 13, memberitahu Xinhua.

    Hiba berkata ibu bapa mereka buta huruf, dan apa yang dia fikirkan adalah untuk meneruskan pendidikannya, hadir ke sekolah dan membaca buku sebagai satu-satunya harapan untuk dia dan adik-beradiknya keluar dari kesusahan mereka.

    “Impian saya adalah untuk mengembara dan pergi ke kolej dan mempunyai pekerjaan yang baik,” kata Hiba, sambil mengeluh ketidakmampuannya untuk mengambil pelajaran Bahasa Inggeris kerana masalah kewangan keluarganya.

    Abdul-Karim dan adik perempuannya Reham berkata mereka ingin menjadi doktor untuk membantu keluarga mereka dan orang lain, keinginan bagi hampir semua kanak-kanak miskin Syria yang melihat penderitaan sejak usia masih sangat muda, mendorong mereka untuk memikirkan masa depan di mana mereka boleh menghulurkan bantuan.

    Abdul-Karim turut membantu di bengkel tukang kayu sejak dua bulan lalu untuk mendapatkan wang untuk keluarganya dan menabung untuk pelajaran Bahasa Inggeris.

    “Saya mula bekerja beberapa bulan lalu kerana saya kesal tidak mempunyai wang dan ketidakupayaan saya untuk mempelajari bahasa baharu,” katanya.

    Reham, 11, berkata apa yang dia mahukan buat masa ini ialah menyambung pelajaran dan belajar menjahit untuk memperoleh wang dan membantu keluarga.

    “Pendidikan mengubah kehidupan kita menjadi lebih baik supaya apabila kita dewasa kita boleh memiliki ijazah yang lebih tinggi untuk membantu ibu bapa kita… saya ingin mempunyai lebih banyak wang dan rumah yang lebih baik dan menamatkan keadaan buruk ini,” katanya.

    Menurut UNICEF, krisis di Syria telah menjejaskan pendidikan, menyebabkan lebih 7,000 sekolah rosak atau musnah dan kira-kira 2 juta kanak-kanak tidak bersekolah.

    Pada bulan Mac lalu, wakil UNICEF Syria Bo Viktor Nylund berkata 5 juta kanak-kanak yang telah dilahirkan sejak bermulanya perang saudara Syria pada 2011 “tidak tahu apa-apa selain peperangan dan konflik. Di banyak bahagian Syria, mereka terus hidup dalam ketakutan terhadap keganasan, periuk api dan sisa letupan perang.” – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China kecewa AS guna veto halang Palestin anggotai PBB

    BEIJING, 19 APRIL - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) gagal meluluskan draf resolusi untuk menerima Palestin sebagai anggota rasmi Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)...