LONDON, 7 OGOS – Harry Kane menjaringkan empat gol ketika Tottenham Hotspur mencatat kemenangan 5-1 bagi aksi persahabatan pramusim di laman sendiri menentang Shakhtar Donetsk kelmarin tatkala spekulasi mengenai masa depan kapten England itu semakin meningkat.
Kane sudah memasuki 12 bulan terakhir kontrak enam tahunnya di Spurs dan dirayu secara agresif oleh Bayern Munich, dengan gergasi Jerman itu dilaporkan membuat tawaran terbaharu mereka.
Kane yang berusia 30 tahun tidak menunjukkan sebarang tanda terganggu semasa meledak hatrik dalam tempoh 55 minit menentang Shakhtar bagi perlawanan pertama pengurus baharu, Ange Postecoglou di Stadium Tottenham Hotspur.
Pengendali kelahiran Australia itu mendapat sambutan yang memberangsangkan oleh penyokong Spurs dan kemeriahan semakin ketara apabila diumumkan Kane akan menjadi ketua pasukan London utara tanpa kehadiran Hugo Lloris.
Kane, pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Tottenham, melakukan dua percubaan awal yang diselamatkan, sebelum melancarkan serangan dengan sepakan penalti pada minit ke-38 selepas James Maddison dijatuhkan.
Pasukan pelawat menyamakan kedudukan di hujung aksi separuh masa pertama menerusi tandukan jarak dekat Kevin Kelsy.
Bagaimanapun, Kane tidak lama kemudian kembali menambah gol apabila dia menanduk masuk hantaran lintang Maddison pada minit ke-50. Dia
menyempurnakan hatrik lima minit kemudian apabila menyambar hantaran Dejan Kulusevski.
Kane melengkapkan hari gemilangnya hasil rembatan susulan dari jarak dekat pada minit ke-79 selepas sepakan lencong pemain gantian, Manor Solomon diselamatkan. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P22-Lead-Kane_08082023.jpg)